PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menekankan kepentingan kerjasama erat wakil rakyat dan pemimpin kerajaan bagi memastikan kejayaan program pembangunan di daerah ini
Beliau berkata, hubungan baik dan kerjasama berterusan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang membolehkan pelbagai program dan pelan pembangunan dilaksanakan dengan lebih lancar, khususnya di kawasan Kapayan.
“Setiap kali ada keperluan, masalah atau perkara berkaitan pembangunan di Penampang, pejabat saya bersama Pusat Khidmat ADUN Kapayan akan duduk berbincang untuk mencari jalan terbaik membantu masyarakat kita. Kami tidak bekerja dalam silo, tetapi sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Pesta Kaamatan DUN Kapayan yang disempurnakan disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Shim di Dewan Kibouvang, di sini, pada Ahad.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Datuk Phoong Jin Zhe; Timbalan Menteri perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin; Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong dan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii.
Ewon berkata, hasil kerjasama itu juga membolehkan Pelan Pembangunan Penampang 2024–2035 diwujudkan yang kini menjadi antara input utama dalam cadangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe13) untuk pembangunan Parlimen Penampang.
Beliau berkata, dengan kerjasama wakil rakyat dan pemimpin kerajaan, beberapa menteri persekutuan telah melawat Penampang untuk melihat sendiri beberapa keperluan masyarakat termasuk projek tebatan banjir dan pembangunan lain yang sedang dan akan dilaksanakan.
“Saya yakin melalui pelan yang dirangka dan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk Kabinet Persekutuan dan kerajaan negeri, Penampang akan menerima limpahan pembangunan yang lebih besar dalam RMKe13.
“Dengan kehadiran rakan-rakan sejawatan dalam Kabinet Persekutuan di Penampang, kita yakin nilai pembangunan Penampang, sama ada di Kapayan mahupun Moyog akan terus ditingkatkan,” katanya.
Ewon berkata, antara projek utama yang sedang berjalan di Penampang ketika ini termasuk projek tebatan banjir, penaiktarafan jalan raya Terian-Buayan, pembinaan jambatan di Babagon dan pelaksanaan Program PANTAS di Kampung Togudon.

Katanya, bagi kementeriannya saja, setakat ini beberapa pejabat agensi telah diwujudkan, antaranya Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), TEKUN Nasional, Hab PMKS dan kemudahan Live Studio di Pejabat Tekun Penampang.
Selain itu, katanya Projek Tamu Desa juga dilaksanakan di Penampang untuk kemudahan peniaga tamu dan usahawan kecil.
Mengenai sambutan Kaamatan, Ewon berkata ia diraikan oleh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau budaya.
“Ini selaras dengan tema ‘Kaamatan Untuk Semua’. Kaamatan bukan hanya milik masyarakat Kadazandusun dan disambut di Sabah, tetapi juga turut disambut di luar negara oleh masyarakat Sabah khususnya Kadazandusun di negara berkenaan,” katanya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad