238 PATI ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Sandakan

SANDAKAN: Seramai 238 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di beberapa lokasi sekitar daerah ini, awal pagi tadi.

Operasi Mahir dan Operasi Sapu yang bermula jam 1.30 pagi itu menyasarkan kawasan rumah setinggan, tapak pembinaan perumahan dan kilang kayu, hasil aduan orang awam serta risikan selama sebulan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, seramai 480 individu diperiksa, membabitkan 71 pegawai pelbagai pangkat dari Pejabat Imigresen Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Bahagian Penguatkuasa Negeri.

Datuk SH Sitti Saleha memeriksa dokumen individu yang ditahan dalam Operasi Mahir dan Sapu di Sandakan.

Katanya, seramai 238 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh, menyalahgunakan pas lawatan serta bekerja tanpa permit.

“Daripada jumlah itu, 88 lelaki dewasa, 88 wanita dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 32 kanak-kanak perempuan ditahan.

“Semua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Sandakan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi Mahir dan Sapu di Sandakan.

Menurutnya, sehingga hari ini, seramai 13,850 individu diperiksa dalam pelbagai operasi yang dijalankan di seluruh negeri.

“Statistik tangkapan PATI JIM Sabah adalah seramai 2,730 PATI ditahan serta 53 majikan turut diberkas kerana menggaji warga asing tanpa permit.

“Manakala pemindahan PATI setakat hari ini adalah seramai 6,058 individu melalui pemindahan laut dan udara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau premis yang menggaji warga asing secara tidak sah kepada pihak berkuasa.

“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan, menangkap dan mendakwa warga asing yang melanggar undang-undang.

“Ia termasuklah operasi di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

SH Sitti Saleha menegaskan JIM akan terus komited dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara dengan memastikan hanya individu yang sah dari segi undang-undang dibenarkan berada di Malaysia. – Info X