SEMPORNA: Seorang suami yang dipercayai pengedar dadah sanggup lari meninggalkan isteri bersama lebih 1 kilogram dadah bagi mengelakkan dirinya ditahan polis dalam operasi di sebuah rumah di Kampung Sejati 2, di sini, hari ini.
Dalam operasi Op Taring itu kira-kira jam 7 pagi itu, lelaki terbabit berjaya melarikan diri manakala isterinya yang berada di lokasi terus ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota dan pegawai menyerbu rumah atas air berkenaan.
Katanya, sebaik serbuan dilakukan, seorang wanita berjaya ditahan, manakala seorang lelaki dipercayai suami suspek berjaya melarikan diri melalui tingkap dapur.
“Hasil serbuan berjaya membawa kepada penemuan beberapa bungkusan plastik yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Semua dadah yang dianggarkan bernilai RM34,755.50 itu disorokkan di antara dinding dan almari dalam rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek wanita menunjukkan keputusan negatif.
“Namun siasatan tetap diteruskan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua barang rampasan dan suspek telah diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Semporna untuk tindakan lanjut.
“Usaha mengesan suspek lelaki yang melarikan diri masih diteruskan oleh pasukan risikan,”katanya.
Sehubungan itu, Abdul Rani berkata, pihak PGA Batalion 22 akan terus komited melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain bagi mengekang kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di kawasan tanggungjawab. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ