4 ‘keldai akaun’ didakwa terbabit skim pelaburan tidak wujud

KOTA KINABALU: Empat individu dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk penipuan dan pemerdayaan skim pelaburan tidak wujud hingga menyebabkan kerugian lebih RM2 juta kepada seorang pemilik taska.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh, Vincent Chia, 20; Maggie Neoh, 39; Wilson Anak Penchen, 40 dan Nurul Mazidah Badrol Hisham, 34.

Pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim, Hakim Hurman Hussain, Hakim Amir Shah Amir Hassan dan Hakim Elsie Primus.

Mengikut kertas pertuduhan, Vincent terlibat secara langsung dalam satu transaksi berjumlah RM135,000 melalui akaun miliknya di taska milik mangsa di Penampang pada 10 hingga 18 Disember 2024.

Maggie turut melakukan perbuatan sama dengan transaksi berjumlah RM39,000 pada 14 Disember 2024 manakala Wilson dan Nurul masing-masing RM111,668 bermula 25 Disember 2024 hingga 7 Januari 2025 serta RM19,000 pada 17 Disember 2024.

Pertuduhan terhadap semua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak kurang RM10,000 serta tidak melebihi RM150,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 10 Julai depan kepada Vincent dan 8 Julai kepada Maggie manakala Wilson dan Nurul masing-masing pada 10 dan 31 Julai depan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dilaporkan mengalami kerugian lebih RM2 juta selepas menyertai satu skim pelaburan yang dipromosikan menerusi iklan di laman Facebook pada 26 November 2024.

Mangsa kemudian berhubung dengan wakil yang memperkenalkan diri sebagai ejen syarikat pelaburan dan tertarik dengan tawaran pelaburan yang dikatakan berpotensi memberi pulangan tinggi, lalu mula membuat pelaburan secara berperingkat.

Sepanjang penglibatannya, mangsa melakukan sebanyak 53 transaksi pembayaran dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2,173,814.50 bertujuan meningkatkan modal perniagaan seperti yang dijanjikan.

Sepanjang tempoh itu, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM6,600, sebuah telefon bimbit dan beberapa kepingan berwarna emas bertulis ‘999’ seberat 15 gram dan 50 gram.

Mangsa disedari ditipu apabila proses pengeluaran keuntungan dalam jumlah yang besar melalui laman sesawang yang diberikan gagal selain ejen terbabit terus mendesak mangsa untuk membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan, kononnya bagi melengkapkan proses pengeluaran.

Keempat-empat tertuduh adalah sebahagian daripada sindiket penipuan itu yang berjaya ditahan pihak polis setakat ini, manakala selebihnya masih bebas. – Info X