SEMPORNA: Pulau Bohey Dulang di Taman Marin Tun Sakaran, di sini, dibuka semula untuk kunjungan orang ramai bermula 14 Jun ini.
Ia ditutup sejak 10 Jun lalu berikutan kehadiran seekor buaya yang dikesan berenang di perairan pulau berkenaan.
Berdasarkan notis dikeluarkan Taman-Taman Sabah (TTS) di laman Facebook agensi itu pada Khamis, pembukaan semula pulau berkenaan dibuat setelah buaya terbabit berjaya ditangkap.
“Substesen Pulau Bohey Dulang, Taman Marin Tun Sakaran, Semporna akan dibuka semula kepada pelawat bermula 14 Jun 2025.
“Operasi mitigasi ancaman buaya yang dijalankan oleh pihak Taman-Taman Sabah, Jabatan Hidupan Liar, Polis Diraja Malaysia serta komuniti tempatan telah berjaya dilaksanakan dengan penangkapan buaya tersebut.

“Walau bagaimanapun, kerja-kerja pemantauan akan terus dijalankan secara berterusan oleh agensi-agensi yang terlibat bagi memastikan keselamatan semua pengunjung,” katanya.
Notis itu dimaklumkan Pengurus Taman Marin Tun Sakaran, Ghazalie Pg Hindi.
Selasa lalu, pihak TTS mengeluarkan notis penutupan Pulau Bohey Dulang selepas kelibat seekor buaya kelihatan di perairannya.
Penutupan itu berkuatkuasa hingga 13 Jun 2025 bagi memberi laluan operasi mengesan dan menangkap buaya terbabit. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ