SANDAKAN: Penduduk Taman Permata, Batu 8, di sini, memohon pihak pengurusan perumahan untuk segera membaiki sistem bekalan air yang berlanjutan sehingga lebih 10 hari.
Malah, taman perumahan yang diduduki hampir 4,000 penduduk itu menggesa agar pihak pengurusan memastikan tiada lagi kejadian gangguan bekalan air bersih akan berulang di masa hadapan.
Salah seorang penduduk, Rony Suding berkata, bekalan air bersih adalah keperluan asas bagi semua penduduk.
Katanya, penduduk yang melibatkan 1,440 rumah itu kini terpaksa berdepan kesukaran lebih 10 hari akibat gangguan bekalan air bersih yang berlarutan.
“Masalah itu turut menjejaskan keluarga yang mempunyai anak kecil, warga emas dan individu kurang upaya (OKU).
“Masalah ini menyebabkan penduduk terpaksa mendapatkan bekalan dari luar menggunakan tong dan gelen,” katanya.
Menurutnya, penduduk yang terkesan terpaksa menyerahkan petisyen rasmi kepada pihak pengurusan perumahan sebagai usaha mendesak penyelesaian segera terhadap krisis itu.
“Kalau boleh, cari solusi yang boleh pulihkan bekalan air seperti biasa. Sudah berminggu-minggu tiada jalan penyelesaian,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Aimi Munirah Farid Anwar berkata, keadaan semakin sukar terutama bagi keluarga yang menjaga bayi dan wanita selepas bersalin.
“Air yang kami terima pun tidak memuaskan, kotor dan berbau. Ramai yang mahu masak pun susah,” katanya.
Masalah dipercayai berpunca daripada sistem paip lama dan tekanan air rendah, menghalang bekalan sampai ke tingkat atas.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ