KOTA KINABALU: “Janganlah tanya bulan, janganlah kamu bilang automatik-automatik itu, terpulang kepada Ketua Menteri nanti pilih.
“Saya mimpi dulu bila tarikh yang paling baik,” jawab Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditanya bila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Beliau ditemui selepas tamat Persidangan DUN selama dua hari pada semalam dan hari ini.
Ketua Menteri mengakui persidangan itu adalah yang terakhir bagi DUN Ke-16 sebelum dibubarkan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan bila tarikh atau bulan untuk membubarkan DUN dan hanya meminta pihak media menunggu pengumumannya nanti.
Hajiji juga tidak mahu memberikan bayangan mengenai bila pembubaran DUN akan dibuat.
“Itu tidak boleh saya bagi sekarang, tunggu kalau kita sudah tetapkan nanti kita panggil semua kawan-kawan daripada media untuk kita umumkan bila tarikhnya.
“Sabar, tidak lama lagi. Janganlah tanya bulan, janganlah kamu bilang automatik-automatik itu, terpulang kepada Ketua Menteri nanti Pilih. Saya mimpi dulu bila tarikh yang paling baik,” katanya.
Mengenai persidangan DUN yang berakhir hari ini, beliau berkata persidangan itu berjaya meluluskan semua rang undang-undang (RUU) yang dibentangkan kali ini.
“Apa yang kita lakukan ini adalah untuk kebaikan negeri, terutama sekali RUU mengenai dengan karbon, mengenai dengan hutan dan tanah.
“Begitu juga kelulusan untuk perbekalan tambahan yang diperlukan oleh kerajaan dalam pengurusan dan juga pembangunan sehingga akhir tahun,” katanya.
Secara keseluruhan, katanya perjalanan sidang DUN kali ini cukup baik kerana kerajaan dapat membentangkan atau memberitahu perkara atau inisiatif yang berjaya dilaksanakan selama lima tahun lalu.
“Sekarang kita hanya tunggu bila kita mengadakan pilihan raya. Kita sudah buat yang terbaik untuk rakyat walaupun masih banyak lagi yang patut kita lakukan.
“Ada lagi masalah-masalah, seperti masalah air yang kita warisi dari dulu tetapi kerajaan hari ini telah dan sedang melaksanakan projek-projek menaik taraf loji-loji kita untuk ‘improve’ kita punya air di Sabah dan begitu juga lain-lain, jalan raya dan sebagainya.
“Selain dari itu banyak inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini yang tidak pernah dilaksanakan atau dilakukan oleh kerajaan sebelum-sebelum ini.
“Jadi ini cukup baik, modal insannya, peruntukan begitu banyak untuk pelajar. Kesejahteraan rakyatnya, orang yang miskin kita bantu, orang yang tiada rumah kita bantu, kebajikan mereka, pelajar semua kita bantu.
“Sekarang terpulang kepada rakyat untuk memberi sekali lagi peluang kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ada pada hari ini,” katanya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad