KENINGAU: Tujuh lelaki ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam ‘Operasi Gempur’ yang dijalankan selama enam hari di daerah ini dan Tambunan.
Operasi dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, bermula 1 hingga 6 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, menerusi operasi itu, membawa kepada penahanan tujuh lelaki, termasuk seorang yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Empat lagi ditahan mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952, membabitkan rampasan dadah jenis syabu seberat 7.13 gram.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas semua tangkapan juga positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yampil berkata, dua lagi lelaki turut ditahan sepanjang operasi itu kerana disyaki menagih dadah dan turut disiasat mengikut seksyen yang sama.
Menurutnya, Op Gempur adalah antara inisiatif berterusan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah bagi menggempur gejala dadah di seluruh daerah.
“Polis Keningau akan terus melaksanakan operasi secara agresif dan berterusan demi mengekang jenayah berkaitan dadah, serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ