KUALA LUMPUR: Projek Pembinaan Semula Jambatan Pekan Tuaran–Sungai Damit, Sabah, akan bermula pada awal September 2025, susulan pelulusannya di bawah Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Menurut Kementerian Ekonomi, projek yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Wilayah Sabah (SEDIA) ini melibatkan peruntukan sebanyak RM30 juta, dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah selaku agensi pelaksana.
“Ketika ini, projek berada di peringkat akhir proses pelantikan kontraktor, yang dijangka dimuktamadkan pada Ogos 2025.
“Tempoh pembinaan ditetapkan selama 18 bulan, dan projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027.”
Kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis terhadap pertanyaan lisan yang dikemukakan Datuk Seri Panglima Madius Tangau [Tuaran] dalam sesi Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Dalam soalannya Madius meminta penjelasan berhubung status projek jambatan tersebut serta anggaran tarikh mula dan siap kerja-kerja pembinaan semula.
Terdahulu dalam Sesi Kamar Khas dalam sidang yang sama pada 2023, Kementerian Ekonomi memaklumkan projek tersebut yang diluluskan pada 24 Mac 2017 di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) akan dirobohkan selepas kajian yang dibuat mendapati strukturnya tidak selamat untuk digunakan.
Jawatankuasa Task Force Damit yang ditubuhkan pada September 2022 kemudian menyarankan supaya jambatan baharu dibina di lokasi yang sama setelah jambatan sedia ada dirobohkan berdasarkan justifikasi value for money, ketahanan (durability) struktur serta keselamatan pengguna.
Pembinaan jambatan yang dimulakan pada 20 April 2018 itu sepatutnya siap pada 19 Oktober 2019.
Tamat

More Stories
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad
Isu ‘Pusingan P’ di Jalan Kinarut Dibawa ke Peringkat Nasional