POLIS MARIN SEMPORNA LAKSANA PEMERIKSAAN TERHADAP BOT-BOT

Polis marin sedang memeriksa bot di perairan Semporna pada hari Jumaat
Oleh Ahmad Tamrin
SEMPORNA : Pasukan Polis Marin telah melaksanakan satu operasi khas terhadap bot- bot di perairan Semporna meliputi laut pelabuhan dan Terusan Menampilik kelmarin.
Menurut Komander Polis Marin Sabah ACP Haji Mohamad Pajeri Ali, objektif operasi yang bermula jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengahari adalah bagi melaksanakan pemeriksaan ke atas bot-bot penambang, pelancong dan kenaikan laut lain.
Pasukan Polis Marin bertindak bagi menguatkuasakan akta/peraturan ke atas aktiviti air terutama bot-bot  yang membawa penumpang seperti Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO), Akta Polis 1967 dan Kanun Keseksaan, kata Mohamad Pajeri.
Selain daripada itu, operasi ini turut memberi perhatian kepada pengusaha pelancongan dan mengenalpasti kesalahan yang sering dilakukan oleh bot-bot pelancong, tambah beliau.
“Sebanyak 92 buah bot pelancong/penambang telah ditahan dan diperiksa di sekitar laut pelabuhan dan Terusan Menampilik,” kata Mohamad Pajeri.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati sebanyak 24 buah bot pelancong/penambang telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 seperti membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan di dalam lesen operasi, kelengkapan peralatan / alat-alat keselamatan tidak lengkap termasuklah tiada jaket keselamatan, kata Mohamad Pajeri.
Setakat ini sebanyak 24 kompaun atau saman telah dikeluarkan sepanjang operasi ini dijalankan. Semua kesalahan dirujuk kepada Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah ( JPDS ) untuk tindakan selanjutnya, katanya lagi.
Beliau menambah, operasi seperti ini akan  dilaksanakan dalam memastikan peraturan sentiasa dipatuhi demi memastikan penumpang bot sentiasa dalam keadaan selamat dan mematuhi peraturan semasa berada di dalam bot.