Kepkas kenalpasti produk baru pelancongan untuk ditawarkan kepada pelancong

Christina ( 2 dari kanan) ketika melawat salah satu gerai Pameran Pelancongan MCTA 2019,

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Kepkas) telah mengenalpasti beberapa produk pelancongan baru untuk ditawarkan kepada pelancong.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat mendedahkan produk baru itu sekarang memandangkan ia masih diperingkat perancangan.

“Produk baru ini adalah perancangan berterusan kerajaan dalam usaha menawarkan produk pelancongan yang lebih baik dan diminati pelancong asing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pelancongan MCTA 2019, di Dewan Acara, Kompleks Karamunsing, disini pada Jumaat.

Christina berkata, selain itu kementeriannya akan mewujudkan beberapa kawasan tumpuan pelancongan di Bandaraya dan bandar utama di negeri ini untuk ditawarkan kepada pelancong.

Beliau berkata, ketika ini kawasan pasar malam di Jalan Gaya dijadikan kawasan tumpuan pelancong dengan mempamerkan pelbagai produk pelancongan selain pelbagai resepi makanan dan minuman.

“Pasar malam ini dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu, tetapi ia nungkin akan ditambah samada bermula pada hari Khamis atau Rabu, bergantung kepada sambutan pengunjung terutama pelancong China,” katanya.

Chriatina berkata, satu lagi kawasan tumpuan pelancong yang telah dikenalpasti ialah di Kampung Air dan menurutnya, perkara itu telah dimaklumkan kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.

Christina berkata, Sabah diberkati dengan pelbagai produk pelancongan yang menarik untuk ditawarkan kepada pelancong asing.

“Kita telah menerima ramai pelancong asing daripada China dan Asia, promosi kali ini kita akan menemui pengusaha pelancongan terbesar di dunia, antaranya France dan London.

“Kita akan mengadakan lawatan ke Indonesia, France dan London bertujuan untuk mempromosian Sabah kepada negara Eropah,” katanya.