OPERASI PEMOTONGAN PENYAMBUNGAN HARAM AIR DITERUSKAN DI SANDAKAN

Petugas sedang memotong sambungan haram dalam operasi baru-baru ini

Oleh Kahar Ali

SANDAKAN: Lapan sambungan haram  tanpa meter di empat lokasi telah dipotong oleh Jabatan Air Sandakan dalam operasi pada Julai 3 dan 5.

Menurut Jurutera Bahagian Jabatan Air Sandakan Ishar Hamka Ismail, operasi berkenaan telah dilakukan dengan bantuan Pihak Salcon Engineering dan kontraktor yang dilantik Jabatan Air Sabah dari jam 9.00 pagi hingga 3.15 petang.

“Enam sambungan yang dipercayai dibuat oleh individu tidak bertanggungjawab untuk disambung ke dua koloni setinggan di kawasan Batu Sapi dikesan pada Jul 3 dalam pemeriksaan ekoran maklumat yang diterima,” kata Ishar.

Sementara itu pada Julai 5 pula, 2 kes telah dikesan di lokasi berlainan iaitu 1 kes berdekatan Bandar Megah dan 1 kes berhampiran kawasan Industri Ringan Serta dimana kesemua sambungan dipercayai disambung ke perkampungan setinggan berdekatan, kata beliau lagi.

Beberapa barangan yang digunakan untuk membuat penyambungan haram telah dirampas  termasuk sejumlah paip poly pelbagai saiz dan aksesori lain, tambah Ishar.

Penyambungan haram merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 49 (b)  dan boleh didenda sehingga RM 50, 000 atau penjara 2 tahun dibawah Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003, katanya.

Ishar menegaskan agar semua pengguna dapat mematuhi undang-undang sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003 atau berdepan dengan denda yang berat jika didapati melakukan kesalahan.

Beliau juga memohon kerjasama dari orang ramai untuk memaklumkan segera sebarang kes kecurian atau kebocoran paip air ke talian hotline Jabatan Air Sandakan di 1 300 8888 55.