SANDAKAN MEMERLUKAN PERKHIDMATAN KESIHATAN AWAM YANG LEBIH BAIK LAGI

Oleh Kahar Ali
SANDAKAN : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, berkata, pihaknya juga memandang serius akan keperluan pesakit di kawasan ini.
“Saya percaya Hospital Duchess of Kent Sandakan yang hanya mempunyai 35 pegawai perubatan pakar pada ketika ini juga tidak dapat memenuhi keperluan perubatan penduduk setempat,” katanya.
“Sandakan hanya mempunyai sebuah hospital dan kerajaan juga bertanggungjawab untuk menghantar lebih ramai pakar untuk berkhidmat di hospital ini kerana kita di Sandakan juga kekurangan hospital swasta,” tambahnya.
Wong berkata, manakala konsep hospital kluster yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga ketika ini hanya dapat dilaksanakan di Kota Kinabalu atau hospital swasta yang ditempatkan di bandar-bandar lain.
“Jelas kita lihat, hospital awam di tempat lain dapat meminta bantuan perubatan pakar dari hospital swasta apabila memerlukan perkhidmatan perubatan kecemasan tetapi Sandakan yang hanya mempunyai satu hospital tidak dapat mengamalkan konsep ini,” katanya.
Justeru, Wong menambah, dalam soal ini, pihaknya akan terus melihat lanjut dan berusaha untuk memastikan kemudahan perubatan dan kakitangan di Hospital Duchess of Kent akan dipertingkatkan dalam semua aspek.
Beliau juga meminta Menteri Kesihatan menyatakan apakah dasar dan insentif Kementerian untuk menangani masalah kekurangan pakar perubatan di hospital awam, terutamanya di bandar-bandar seperti Sandakan.
Wong berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan kepada Menteri Kesihatan di Parlimen.
Menteri Kesihatan menjawab lisan di Parlimen bahawa bah menangani kekurangan pakar perubatan di hospital awam, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti menawarkan pelbagai inisiatif bagi menghasilkan dan menarik lebih ramai pakar perubatan.
Antaranya,  peningkatan slot tajaan Hadiah Latihan Persekutuan daripada 800 slot pada tahun 2009 kepada 1,100 slot pada tahun 2019 untuk menggalakkan lebih ramai pegawai perubatan melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Kepakaran dan peningkatan peluang Latihan kepakaran perubatan melalui Program Latihan Kepakaran ‘Parallel Pathway’
Selain itu, pelantikan semula secara kontrak pegawai perubatan pakar warganegara yang telah bersara wajib untuk berkhidmat dengan KKM mengikut keperluan terutama bagi bidang kritikal dan di kawasan yang memerlukan perkhidmatan kepakaran yang tinggi.
Menurut Menteri, KKM juga mengambil inisiatif perkhidmatan kepakaran daripada pihak swasta untuk berkhidmat secara bermusim sessional dimana kerajaan telah meluluskan kenaikan kadar bayaran perkhidmatan sessional ini mengikut kategori berkuatkuasa pada 1 Mei 2019 dan menggalakkan pakar perubatan warganegara Malaysia yang berkhidmat di luar negara untuk pulang ke tanah air.
Selain itu, bagi menarik minat Pegawai Perubatan untuk berkhidmat di Sabah, insentif dan elaun khas yang disediakan kerajaan termasuk Bayaran Insentif Wilayah bagi Pegawai di Sabah atas kadar 12.5 hingga 25 peratus daripada gaji bulanan.
Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) kepada Pegawai Perubatan yang berkhidmat di fasiliti Kesihatan dikawasan pedalaman yang diluluskan atas kadar RM500 atau RM1,000 atau RM1,500 berdasarkan kategori pedalaman fasiliti tersebut.
Juga disediakan bayaran insentif pedalaman bagi Pegawai di Sabah atas kadar 10 peratus daripada gaji bulanan, bayaran insentif penempatan Sabah, Sarawak dan Labuan kepada Pegawai bukan warganegara yang dilantik secara kontrak berkhidmat di negeri itu, bayaran insentif penempatan pakar perubatan atau pergigian di Fasiliti Kesihatan di Sabah dan Sarawak berkuatkuasa 1 Julai 2016; bayaran insentif penempatan pakar perubatan atau pergigian di Fasiliti Kesihatan di Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa mulai 1 April 2017 dan Pegawai Perubatan yang berkhidmat di Sabah diberi merit 5 peratus markah tambahan dalam markah keseluruhan bagi demikian calon yang akan menjalani latihan kepakaran untuk program Sarjana Perubatan.
Sementara itu, Menteri turut memberitahu bahawa Kementerian Kesihatan juga menambahbaik perkhidmatan kepada rakyat khususnya dalam perkhidmatan kepakaran termasuk melaksanakan konsep hospital kluster melalui perkongsian kemudahan antara hospital bagi pakar perubatan dan pegawai perubatan menyampaikan rawatan kesihatan dalam lingkungan hospital-hospital yang diklusterkan dan melaksanakan “Visiting Specialist” bagi pakar perubatan menyampaikan rawatan kepada penduduk di sekitar luar bandar.