Veteran ATM digesa sertai PVATM

Marshid menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ahli Veteran PVATM

Oleh: Nio James

TUARAN: Veteran ATM digesa menjadi ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) bagi membolehkan persatuan itu  memantau semua ahli dan memberikan bantuan sewajarnya mengikut syarat yang ditetapkan.

Yang DiPertua PVATM, Marshid Hj Mohd Salleh berkata demikian kerika menyempurnakan majlis penutupan mesyuarat agung tahunan PVATM cawangan Tuaran kali ke-28, di Dewan Persidangan Majlis Daerah Tuaran, baru-baru ini.

Beliau mewakili Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, yang juga Ahli Parlimen Tuaran dan penaung PVATM Tuaran.

Selain mengadakan mesyuarat agung tahunan, persatuaan itu turut mengadakan sesi dialog bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Negeri  Sabah Mejar Mohd Kamarul Helmi bin Mohd Esa.

Mesyuarat agung itu telah dihadiri oleh 80 orang ahli termasuk Veteran ATM, Srikandi serta Beliawira PVATM Tuaran.

Mohd Kamarul berkata, semua ahli veteran diwajibkan menjadi ahli persatuan, bekerjasama dan bersatu padu dalam persatuan agar jabatannya mudah memantau dan mengenalpasti ahli veteran dan keluarga yang perlu diberi bantuan sewajarnya.

“Dengan adanya rekod dalam sistem data persatuan, ia memudahkan lagi bagi JHEV mengenalpasti mereka yang benar-benar perlu diberikan bantuan kebajikan kepada ATM veteran dan tanggungan mereka yang daif, uzur, hilang upaya dan menghidap penyakit kronik berdasarkan kelayakan mengikut kiraan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini JHEV komited di dalam menyalurkan bantuan kebajikan kepada veteran ATM dan tanggungan yang layak terutama skim bantuan iaitu Skim Bantuan Sara Hidup kepada yang layak.  Kadar bantuan adalah RM300.00 sebulan.

Skim Bantuan Persekolahan dan Kolej Vokasional Kebangsaan, berasaskan kelayakan mengikut kiraan PGK ditetapkan.  Kadar bantuan adalah RM500.00 setahun untuk sekolah rendah dan RM700.00 setahun bagi sekolah menengah dan kolej vokasional kebangsaan.