TAMBANG UDARA DOMESTIK TINGGI SEMASA MUSIM PERAYAAN

Oleh Kahar Ali
 
SANDAKAN : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong (gambar) komited membawa isu yang banyak didengarinya dan menjadi keluhan kepada pelajar berhubung tambang udara domestik yang tinggi semasa musim perayaan ke Dewan Rakyat. 
 
Beliau juga telah meminta jawapan daripada Menteri Pengangkutan di Parlimen berkenaan langkah yang efektif untuk manangani masalah ini.
 
Wong berkata, selain menimbangkan harga siling (ceiling price) untuk tiket penerbangan terutamanya pada musim perayaan, pihak kerajaan juga diharap dapat berkerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menjalankan tanggungjawab sosial seperti memperkenalkan diskaun tiket penerbangan kepada pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran mereka di luar Sabah.
 
Beliau mencadangkan bahawa jika para pelajar dapat menerima ehsan  daripada syarikat penerbangan dan mendapatkan diskaun 50% dari jumlah harga tiket penerbangan setiap tahun, ia juga akan dapat membantu mengurangkan beban keluarga mereka khasnya pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
 
 “Pada dua minggu yang lepas, ada seorang pelajar perempuan datang ke pejabat saya untuk mendapatkan pertolongan untuk membeli tambang tiket kapal terbang ke Kuala Lumpur untuk menyambung pengajiannya bagi semester terakhir.” Katanya.
 
“Saya diberitahu bapanya seorang nelayan dan dari keluarga golongan B40. Ia amat menyedihkan saya kerana harga tiket yang agak mahal,” tambahnya.
 
Dalam pada itu, bagi masalah tambang udara domestik yang tinggi semasa musim perayaan, Wong juga meminta Menteri Pengangkutan menyatakan  berapa efektif langkah penerbangan tambahan bagi menurunkan tambang udara domestik semasa musim perayaan yang diumumkan pada Ogos 2018 dengan statistik terkini; dan apakah pelan lain untuk terus mengurangkan tambang udara domestik yang tinggi dan berterusan pada musim puncak.
 
Timbalan Menteri, Dato’ Kamarudin Jaffar menjawab, Kementerian Pengangkutan telah mendapatkan komitmen syarikat-syarikat penerbangan untuk menambah jumlah penerbangan semasa Tahun Baru Cina tahun ini dan telah memperluaskan perlaksanaannya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan baru-baru ini.
 
Beliau mengambil perayaan Tahun Baru Cina tahun ini sebagai contoh, dimana jumlah penerbangan berjadual tambahan yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (MAVCOM) adalah sebanyak 376, menjadikan jumlah keseluruhan penerbangan sebanyak 2,050 berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 1,674. 
 
Susulan daripada penambahan penerbangan ini, harga tiket penerbangan secara puratanya telah menurun di antara 19.8% sehingga 57% berbanding tempoh musim perayaan yang sama pada tahun 2018, bergantung kepada waktu tempahan tiket dibuat.
 
Manakala, semasa Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, jumlah penerbangan berjadual telah meningkat sebanyak 864 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 5,240 berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 4,376.
 
Susulan daripada penambahan penerbangan tersebut, harga tiket penerbangan bagi 7 daripada 10 laluan yang dipantau oleh MAVCOM secara puratanya telah menurun di antara 12.7% sehingga 74.9% berbanding tempoh musim perayaan yang sama pada tahun 2018, bergantung kepada waktu tempahan tiket dibuat.
 
Walaubagaimanapun, terdapat 3 laluan yang menunjukkan kenaikan harga tambang semasa Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, berbanding tempoh yang sama tahun 2018. 
 
Laluan-laluan tersebut adalah, Kuala Lumpur – Sandakan, Kuala Lumpur – Tawau dan Johor Bahru – Sibu masing-masing dengan purata kenaikan sebanyak 10.48%, 57.6% dan 21.78%.
 
Beliau menjelaskan situasi ini berlaku mungkin disebabkan oleh faktor ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan terhadap perkhidmatan penerbangan yang disediakan. 
 
Sehubungan itu, pada musim perayaan yang akan datang, syarikat penerbangan akan diminta supaya menambah kekerapan penerbangan bagi laluan-laluan berkenaan. 
 
Secara amnya, tawaran harga tiket penerbangan akan lebih murah sekiranya ia ditempah lebih awal.
 
Memandangkan langkah untuk mewujudkan penerbangan tambahan didapati berjaya mengurangkan harga tiket penerbangan khususnya pada musim perayaan, maka Kerajaan akan terus menggunapakai kaedah ini pada masa hadapan.
 
Pihak Kementerian juga hanya akan mempertimbangkan semula cadangan untuk menetapkan harga siling dan harga lantai bagi tambang tiket penerbangan domestik sekiranya kaedah untuk menambah penerbangan tambahan tidak berjaya menyelesaikan masalah kenaikan harga tambang sempena musim perayaan.
 
Semasa menjawab soalan tambahan Wong lagi,  Kamarudin Jaffar berkata, dalam konteks perniagaan terbuka yang sama, Malaysia Airlines Berhad (MAB) telahpun menawarkan potongan harga 20 peratus kepada pelajar di seluruh negara dan dalam semua penerbangan domestik ataupun antarabangsa dan ditambah lagi dengan bagasi lebih 10 kilogram.
 
Bukan sahaja pelajar-pelajar tetapi keluarga pelajar dan sahabat-sahabat pelajar juga diberikan potongan 20 peratus ini.
 
Begitu juga tentang penetapan harga.
 
Manakala penetapan harga siling atau lantai akhirnya tidak akan menguntungkan pengguna kerana kajian MAVCOM di kalangan negara-negara yang mengamalkan penetapan harga, akhirnya harga-harga purata sebenarnya akan menjadi lebih tinggi berbanding dengan jika dasar untuk menetapkan harga ini tidak dilakukan.