Junz: Teguran audit memudahkan langkah penambahbaikan

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU:  Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong (gambar)  berkata,  sejak memulakan tugas, beliau sudah perhatikan secara umum terdapat kelemahan-kelemahan dalam pengurusan di kementeriannya.

“Saya bersyukur  pihak audit telah memperinci segala kelemahan tersebut kerana ini memudahkan saya untuk mengambil langkah-langkah penambahbaikan secara menyeluruh,” katanya.

Katanya,  kelemahan yang berlaku ini telah diwarisi daripada kepimpinan dan pengurusan Kerajaan terdahulu.

Junz berkata  beliau bukan mahu memberi alasan tetapi sekadar menyatakan hakikat sebenar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ekoran Laporan Audit Negara bagi tahun 2018 yang melibatkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (KPIM) Sabah.

Pengauditan telah dilaksanakan pada bulan Oktober 2018.

Junz menjelaskan sejak mengambilalih tugas di Kementerian, langkah-langkah penambahbaikan secara berperingkat dan berterusan telah dan sedang dijalankan.

Beliau menegaskan bahawa langkah-langkah penambahbaikan melibatkan pelbagai tugasan yang telah tidak dilaksanakan ataupun dilaksanakan tanpa mematuhi prosedur oleh pengurusan terdahulu.

“Saya yakin dengan kumpulan pengurusan yang baharu kementerian dan dengan kerjasama padu seluruh jentera pentadbiran awam negeri, KPIM akan menjadi sebuah organisasi yang cemerlang”, katanya dengan nada yakin.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Audit Negara kerana telah menjalankan audit secara terperinci.

Beliau berkata audit yang dilaksanakan amat bertepatan dengan perubahan Kerajaan Negeri serta beliau sebagai Menteri KPIM yang baru.

Junz menyeru kepada seluruh warga kerja KPIM serta jabatan dan agensi di bawahnya supaya berganding bahu untuk memperbaiki segala kelemahan serta sistem penyampaian demi kesejahteraan rakyat dan Negeri Sabah.