Tiga lagi terminal bas bersepadu bakal dibina……ke arah mengwujudkan sistem pengangkutan awam yang efisien dan selamat, kata Mayor

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Terminal KK Sentral yang telah siap dibina merupakan sebahagian daripada empat terminal bas bersepadu yang dirancang di bawah pelan induk pengangkutan awam Bandaraya Kota Kinabalu.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman (gambar) berkata, tiga terminal yang lain adalah Terminal Bersepadu Kepayan (Selatan), Terminal Bersepadu Inanam (Utara) dan Terminal Bersepadu Penampang (Tinur).

“Empat terminal ini adalah komponen penting dalam perancangan penambahbaikan sistem pengangkutan awam untuk membolehkan penyusunan semula laluan bas ke arah mengwujudkan sistem pengangkutan awam yang efisien dan selamat di Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran operasi KK Sentral, disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali, disini pada Isnin.

Nordin berkata, pembinaan ternimal bersepadu itu dicadangkan bersama dengan pelaksanaan projek Bas Rapid Transit Kota Kinabalu (BRT KK).

Katanya,Terminal KK Sentral hanya dapat berfungsi sepenuhnya untuk perkhidmatan antara terminal setelah Terminal Bersepadu Inanam dan Terminal Bersepadu Selatan siap dan mula beroperasi.

“Buat masa ini, hanya perkhidmatan bas ekpress ke Beaufort, Sipitang, Menumbnok, Lawas dan Negara Brunei yang beroperasi di terminal ini,” katanya.

Beliau berkata, KK Sentral dibuka khususnya bagi kemudahan warga Kota Kinabalu menunjukkan komitmen kerajaan bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di Bandaraya Kota Kinabalu.

“Perkara ini selaras dengan bidang keutamaan negeri untuk melestarikan kemajuan dan kemakmuran negeri Sabah,” katanya.

Nordin berkata, selaras dengan pelan pengangkutan awam Bandaraya Kota Kinabalu, pelbagai usaha telah dijalankan oleh DBKK untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

“Saya telah menetapkan petunjuk prestasi (KPI) dan sasaran tahunan DBKK sejak awal tahun dan usaha kami menghasilkan satu sasaran tahunan untuk DBKK pada tahun 2019,” katanya.

Katanya, KPI DBKK merupakan dokumen yang amat penting dalam mengukur tahap prestasi dan pencapaian setiap jabatan khasnya dan DBKK secara keseluruhan.

“Sesungguhnya saya amat bersyukur mempunyai satu kumpulan kerja yang amat komited bagi memastikan kejayaan DBKK serta berdiri teguh dibelakang saya sepanjang tempoh ini,” katanya.

Beliau berkata selaras dengan aspirasi `fast foward’ yang diinspirasikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri ke arah pentadbiran yang lebih efisien dan efektif, diharapkan agar dalam setiap tindakan ianya adalah berorientasikan dan berlandaskan pendekatan `citizen atau people centric’. “Ia amalan budaya mengutamakan masyaraakat dalam setiap keputusan yang dibuat”.

“Ini bermakna komunikasi yang berkesan penting untuk membina keyakinan rakyat terhadap DBKK.

Sehubungan itu, DBKK merancang untuk mengadakan sesi dailog town hall sebagai salah satu medium terbaik untuk memaklumkan kepada masyarakat mengenai segala aktiviti dan peranan DBKK laksanakan untuk bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.

Dalam hal ini, beliau menyeru agar semua pihak memberikan kerjasama bagi membolehkan DBKK memenuhi permintaan yang pelbagai daripada warga bandaraya dan seterusnya meraih sokongan daripada mereka dalam mengimplementasikan sesuatu projek.