Muzzammil Ismail (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan daging korban kepada wakil penduduk Kampung Pasir Putih, sambil diperhatikan oleh Mohd Isquzawan Israq (empat dari kiri) dan pemimpin masyarakat setempat.
Oleh: Nio James
PUTATAN: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama NGO Angkatan buat pertama kalinya telah mengadakan Projek Angkatan Qurban 1440H di sini, sempena dengan Hari Raya Aidiladha.
Majlis Ibadat Qurban itu telah dianjurkan oleh Armada Negeri Sabah, NGO Angkatan, Armada Bahagian Putatan dengan kerjasama Komuniti Kumpulan Penyelaras Nelayan Pasir Putih, Putatan di Jeti Nelayan Kampung Pasir Putih, pada Isnin.
Exco Armada Nasional Bersatu, Muzzammil Ismail telah merasmikan program itu dengan sebanyak 5 ekor lembu dikorbankan.
Turut hadir ialah Ketua Armada Bersatu Sabah, Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit, Ketua Armada Sipitang, Zulhuzaimie dan Ketua Armada Pensiangan, Awangku Azuan Hamzah.
Menurut Muzzammil, seramai 180 orang terdiri daripada anggota Armada dan komuniti nelayan kawasan Pasir Putih telah menyertai program itu.
Katanya, lembu-lembu korban itu telah disumbangkan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Setiausaha Agung Bersatu, Senator Datuk Marzuki Yahya dan Ketua Armada Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Armada sangat berbesar hati kerana dapat mengadakan program ibadah korban ini bersama-sama komuniti di kawasan Pasir Putih, Putatan.
“Ini adalah kali pertama Armada mengadakan ibadah korban melibatkan komuniti di sini.
Selain menjalankan ibadat korban, kita berharap program ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama komuniti di kawasan ini”, katanya ketika ditemui.
Katanya, daging-daging korban itu telah diagih-agihkan kepada golongan asnaf, fakir, miskin, sakit, kelainan upaya serta golongan yang layak menerima agihan daging korban.
Sementara itu, Mohd Isquzawan Israq berharap, program itu dapat diteruskan setiap tahun kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Kalau boleh Armada Sabah berharap program korban ini dapat diadakan di kawasan lain khususnya di bahagian pedalaman negeri Sabah”, katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ