Madius sokong penuh pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995

YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Presiden Upko

TUARAN:  Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyokong penuh pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 yang akan berkuat kuasa pada 9 Sept tahun ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata walaupun bukan beragama Islam beliau sentiasa menyokong dan menghormati pindaan berkenaan yang sudah semestinya mendatangkan kebaikan kepada semua penganut Islam di Sabah.

“Pindaan enakmen berkenaan membuktikan bahawa kerajaan sangat mementingkan soalagama…kerana kerajaan mahu anak-anak muda atau generasi kini menerima ilmu berkaitan agama yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Raya Aidiladha Peringkat Gayang, dekat sini,  malam Isnin yang dihadiri kira-kira 1,500 penduduk setempat.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan) 2019 itu bagi mengadakan takrif agama Islam dan Ahli Sunnah Waljamaah selain menjadikan sebatan sebagai penalti bagi ajaran doktrin dan pelaksanaan upacara atau perbuatan berhubungan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak serta fatwa dikuatkuasakan di negeri ini.

Pindaan enakmen itu juga bagi mengadakan peruntukan baharu mengenai larangan mengembangkan doktrin agama selain daripada doktrin agama Islam.

Madius, yag juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, beliau akan terus komited membantu rakyat di kawasan berkenaan tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya akan terus memberi bantuan kepada kelas-kelas kafa yang ada di daerah ini…walaupun bukan seagama saya menghormati Islam sebagai agama rasmi negara,” katanya.

Sementara itu, Madius, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian menyeru agar masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah, khususnya di Tuaran sentiasa saling hormat-menghormati.

“Kita perlu perkukuhkan persefahaman dan perpaduan.

Semoga sambutan Hari Raya Aidiladha pada kali ini memberi lembaran baru bagi kita untuk bersatu padu untuk memastikan negara terus aman dan damai,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *