Madius (3 dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pesara penjawat awam (2 dari kanan), sambil disaksikan oleh Rosmadi ((3 dari kanan) dan tetamu yang lain
Oleh: Nio James
TUARAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menasihati pesara agar tidak menjadikan persaraan sebagai satu alasan untuk hidup pasif di rumah.
Sebaliknya, katanya, persaraan itu seharusnya dimanfaatkan dengan sebaiknya, sama ada dengan berehat secara sihat sambil meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga tersayang, mahupun dengan melakukan aktiviti kemasyarakatan.
“Atau apa sahaja aktiviti yang memberi nilai tambah kepada masyarakat iaitu “Jangan sekadar bersara daripada sesuatu keadaan, bersaralah dengan adanya sesuatu dibuat. Jangan sia-siakan masa yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Jasamu Dikenang bagi Zon Daerah Tuaran, bertempat di Shangri-La Rasa Ria Resort, disini pada Khamis.
Seramai 71 orang pegawai yang telah bersara daripada perkhidmatan awam negeri, bagi Zon Tuaran meliputi Daerah Tuaran, Kota Belud dan Daerah Kecil Tamparuli menerima sijil penghargaan dan syiling emas (emas tulen tertinggi – 999.9).
Madius, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, di negara jiran Singapura, pesara di negara itu masih aktif bekerja dan dapat menyumbangkan sesuatu kepada negara mereka.
“Saya percaya pesara kita juga mampu berbuat sedemikian. Apatah lagi dengan sokongan kenyataan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia yang menyatakan bahawa Pesara adalah Aset untuk Negara yang memerlukan perhatian, penghargaan dan penjagaan kebajikan secara berterusan bagi memastikan kelangsungan produktiviti kepada masyarakat.
“Saya percaya, semua pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri yang diterajui oleh Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai, selaku pengarah sentiasa bersedia untuk membantu walaupun penjawat awam sudah bersara,” katanya.
Madius berkata, apabila memasuki alam persaraan, tidak bermaksud bekas penjawat awam harus “bersara” daripada melakukan aktiviti riadah dan bersenam.
Katanya, ini kerana menurut kajian penyelidik dari Universiti Yale dan Universiti Oxford membuktikan senaman memberikan kesihatan mental dan fizikal yang sempurna dan dapat memberi kegembiraan lebih baik berbanding memiliki wang yang banyak.
Katanya, kesedaran rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat walaupun sudah semakin meningkat, namun pada umumnya, masih lagi membimbangkan.
Justeru itu, beliau mengajak para pesara membudayakan gaya hidup sihat agar kesihatan juga terjaga.
Madius memberitahu kesan kewangan yang terpaksa ditanggung apabila tidak menjaga kesihatan.
“Saya difahamkan jumlah perbelanjaan kesihatan secara am di negeri ini pada tahun 2017 ialah RM 5.17 juta.
“Jumlah ini telah meningkat ke RM 5.27 juta pada tahun 2018,” katanya.

Madius (duduk tengah), Rosmadi dan tetamu khas lain bergambar kenangan bersama para pesara penjawat awam
Katanya, daripada jenis perbelanjaan tersebut, rawatan untuk dialisis mencatatkan jumlah terbesaryang dibelanjakan iaitu sebanyak RM 3.44 juta pada tahun 2017 dan meningkat ke RM 3.50 juta pada tahun 2018.
Selain itu, katanya kos pembelian ubat-ubatan terutama untuk rawatan kanser dan jantung turut melibatkan kos yang tinggi ditampung oleh kerajaan.
“Ini bukanlah satu petanda yang baik tentang tahap kesihatan penjawat awam kita.
Oleh itu, saya memohon semua penjawat awam serta pesara kerajaan agar mengamalkan gaya hidup sihat bersama keluarga masing-masing.
Amalkan senaman setiap hari dan jaga pemakanan kita lebih-lebih lagi usia kita pun semakin ke hadapan,” katanya.
“Contohilah amalan gaya hidup sihat yang diamalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri kita yang masih sihat fizikal dan mental di usia 94 tahun.
Tun Dr. Mahathir sentiasa menjaga pemakanan dan membuat senaman seperti berjalan dan menaiki basikal.
Untuk menguatkan daya ingatan pula, beliau sentiasa rajin membaca buku dan menulis,” katanya.
Madius berkata, pesara juga perlu mengamalkan perbelanjaan berhemat kerana masa persaraan mempunyai cabaran terutamanya dari segi kewangan kerana pesara kerajaan tidak lagi mendapat gaji penuhtetapi hanya 60 peratus daripada gaji pokok sahaja dan akan kurang lagi jika tempoh perkhidmatan kurang daripada 30 tahun.
Madius, yang juga Ahli Parlimen Tuaran berharap paara pesara dapat berganding bahu dalam memajukan dan membangunkan Daerah Tuaran dan juga daerah lain agar terus berada di hadapan, dipacu dan diwarnai dengan arus pembangunan yang pesat.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ