Oleh Faizal Rahman
LAHAD DATU : Dua lelaki maut dan seorang pembonceng wanita cedera parah selepas motosikal mereka berlanggar di KM 9, Jalan Lahad Datu-Tawau pada hari Sabtu.
Ketua Polis Daerah ACP Nasri Mansor berkata, penunggang berkenaan yang berumur 32 dan 25 tahun meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala wanita berusia 20 tahun yang parah dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan dalam kejadian 8.20 malam itu.
Siasatan awal polis menunjukkan kemalangan berlaku semasa mangsa berumur 32 tahun bersama pemboncengnya dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Silam, kata Nasri.
Dipercayai motosikal mereka itu terbabas sebelum terseret masuk ke lorong bertentangan dan bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa berusia 25 tahun dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu, tambah Nasri.
Menurut Nasri, kemalangan tersebut disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ