PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah malam ini menghiasi siaran Buletin Utama TV3 apabila menjadi pembaca berita diraja.
Menerusi slot khas dipanggil Buletin Diraja TV3, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menunjukkan bakat membaca berita pada rancangan mula bersiaran 8 malam itu.
Pasangan diraja itu tampil hampir 15 minit membaca berita berkaitan perpaduan masyarakat majmuk dan ternakan ikan patin buah di Pahang, selain laporan liputan lawatan mereka ke Sri Pentas terletak di Bandar Utama di sini.
“Macam muka kenal je nie,” seloroh Tunku Azizah yang ditujukan kepada Sultan Abdullah dalam klip video tular di media sosial.
Sultan Abdullah dari Pahang yang akan menamatkan penggal pemerintahannya pada 30 Jan depan sememangnya dikenali sebagai pemerintah dekat dengan rakyat.
Keprihatinan Baginda bersama Tunku Azizah jelas terserlah sewaktu Kembara Kenali Borneo selama 11 hari, dengan menjelajah Sabah serta Sarawak termasuk menggunakan laluan harian digunakan ramai untuk mendengar masalah rakyat.
Rombongan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah memulakan perjalanan kembara itu di Tawau, Sabah pada 3 Sept lalu sebelum mengakhiri penjelajahan 11 hari di Telok Melano, Selatan Sarawak pada 13 Sept lalu.
Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja pada 27 Okt lalu mengisytiharkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya, manakala Sultan Perak Sultan Nazrin Shah diumum sebagai timbalan Yang di-Pertuan Agong.
More Stories
Kebakaran dapur di Kedai Lama Papar hasil tindakan pantas Bomba
Labuan dikenal pasti sebagai hab global industri tuna – Zaliha
JANS digesa peka aduan gangguan bekalan, masalah tekanan air rendah