TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau hadir menyantuni anak-anak yatim pada majlis berbuka puasa di Rumah Anak Yatim dan Maahad Tahfiz HOME Tuaran pada Sabtu.
Program itu merupakan anjuran Klinik Pergigian Hospital Tuaran dalam mengimarahkan bulan Ramadan bersama golongan kurang bernasib di daerah ini.
Terdahulu, turut diadakan Program Kesihatan Oral dan Agama (KOA) yang melibatkan penyertaan seluruh penghuni HOME Tuaran.
Antara pengisian program termasuklah pemeriksaan pergigian, ceramah kesihatan pergigian dan kerjaya dalam pergigian.
Sementara itu Madius berkata, program seumpama ini wajar diadakan bagi mengeratkan silaturahim sesama masyarakat tanpa mengira kaum dan agama sekali gus memupuk nilai kasih sesama manusia.
“Agama tidak pernah mengenal suku dan warna kulit.
“Agama tidak pernah mengajar kita berbuat jahat dan memusuhi sesama manusia malah selalu mengajar mengasihi sesama manusia,” katanya.
Selain berbuka bersama-sama, Madius turut beramah mesra dengan anak-anak yatim dan seluruh penghuni HOME Tuaran.
Hadir sama, Pegawai Pergigian kawasan Kota Kinabalu, Dr. Datu Mohd Amyril Abdullah dan Pengerusi HOME Tuaran, Haji Sulaiman Haji Osman.
More Stories
Walkabout sempena Tahun Baharu Cina di Tuaran
Skandal rasuah Sabah : 18 ADUN dirakam keterangan, kertas siasatan siap hujung bulan ini – SPRM
Pemandu lori ditahan ubah suai tangki minyak