Ahli yang ada kes mahkamah tu berihatlah, tegur penasihat Umno Selangor

Ahli Umno yang berdepan pendakwaan di mahkamah hendaklah keluar parti atau mengambil cuti rehat kerana mereka mewujudkan “tanggapan buruk” dalam kalangan rakyat, kata bekas naib presiden parti itu, Muhammad Muhammad Taib.

Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan buruk terhadap reputasi parti dan sokongan umum merosot.

Muhammad, yang merupakan penasihat Umno Selangor berkata, budaya Umno sebelum ini mengkehendaki pemimpin mempunyai kes di mahkamah berundur daripada jawatan mereka sehingga kes tersebut selesai.

“Ini tradisi Umno. Mereka mesti selesaikan kes masing-masing dan dilepaskan (oleh mahkamah) sebelum kembali kepada parti.

“Pemimpin sekarang yang berdepan keadaan ini mesti berehat, sama seperti pemimpin sebelum ini,” katanya dalam temu bual dengan akhbar Utusan Malaysia.

Muhammad mengakui tidak wujud peruntukan sedemikian dalam perlembagaan Umno yang mengkehendaki pemimpin berundur, tetapi pemimpin terdahulu melakukannya secara sukarela bagi memelihara integriti parti.

“Pemimpin yang berundur sementara dan menarik diri daripada parti akan menjaga kredibiliti parti.

“Ia juga memberi kesan ke atas keyakinan pelabur asing kerana keutamaan mereka ialah integriti dan kestabilan politik kita,” katanya lagi.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, kedutaan asing di sini juga akan menjalankan risikan sendiri dan melaporkan perkara itu kepada negara masing-masing yang akan memberi kesan ke atas kestabilan dan integriti kerajaan.

Beliau berkata, diplomat asing di negara ini mempunyai pegawai yang memeriksa perkembangan politik dan akan melaporkannya kepada kerajaan mereka.

Laporan ini katanya, juga akan disalurkan kepada badan perniagaan dan pelaburan.

“Misalnya Kedutaan Malaysia di luar negara mempunyai unit risikan mereka yang menganalisis keadaan politik di sana dan melaporkan kepada pihak berkuasa di sini.

“Laporan ini akan memperlihatkan sama ada kerajaan negara terbabit berkompromi berhubung integriti mereka dengan tindak-tanduk politik tertentu.”

Beliau berkata, pelabur akan menarik diri jika terdapat laporan negatif, tetapi Malaysia memerlukan pelaburan asing untuk terus berkembang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *