Akauntabiliti lebih baik jika SPRM bawah Parlimen, kata Rais

Akauntabiliti akan lebih baik jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan bawah Parlimen bukannya eksekutif, kata pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) itu.

Rais Yatim yang juga speaker Dewan Negara berkata, akauntabiliti kepada Parlimen “lebih bermakna” berbanding kepada eksekutif.

“Adalah berbahaya untuk tugas yang berkaitan dengan anti-rasuah untuk terus kekal bawah eksekutif kerana ia bercanggah dengan konsep akauntabiliti,” katanya kepada wartawan selepas satu majlis, di sini, hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata agensi berkenaan mungkin hilang kebebasan jika diletakkan bawah Parlimen.

“Sebagai pengerusi JKMR, sama ada (SPRM) diletakkan bawah Parlimen atau perdana menteri, ini mesti diputuskan oleh rakyat, bukan kita,” kata Rais.

Beliau turut menggesa pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 untuk memberi lebih banyak kuasa kepada JKMR, yang terdiri daripada tujuh anggota Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Di bawah Seksyen 14, kita menasihati perdana menteri tentang rasuah. Kita sudah nasihat tetapi beliau tidak (perlu) jawab.

“Kita juga dikehendaki meneliti laporan tahunan suruhanjaya itu dan ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah. Kita periksa, kemudian apa? Kita selesai periksa,” katanya.