KOTA KINABALU: Perlawanan akhir Liga Super menentang Perak FC di Stadium Likas malam ini bakal menguji kemampuan pemain muda Sabah FC untuk menggalas tugas kesebelasan utama pasukan pada musim depan.
Pengendalinya, Martin Stano, berkata ramai pemain muda akan diturunkan malam ini bagi menggantikan tonggak utama Sang Badak yang berdepan penggantungan dan kecederaan.
“Disebabkan kecederaan dan penggantungan beberapa pemain utama, permainan akhir bertemu Perak akan menyaksikan pemain muda diberi peluang untuk bermain dan menunjukkan kualiti permainan mereka.
“Ini peluang mereka menunjukkan kemampuan dan kualiti permainan masing-masing kerana mereka mungkin berpotensi untuk meneruskan aksi pada musim depan,” katanya mengulas perlawanan akhir Liga Super, Sabah FC menentang Perak FC, malam ini.
Sementara itu, Stano berkata pasukannya mahu mengakhiri Liga Super musim ini dengan mengutip tiga mata penuh, lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri.
Katanya, walaupun Sabah FC sudah mengesahkan kedudukan di tempat ketiga liga, pasukannya mahu menamatkan musim liga yang panjang itu dengan pengakhiran yang baik.
“Akhirnya tiba untuk perlawanan akhir Liga Super, kita mahu menamatkan musim ini dengan baik kerana sejujurnya ia adalah musim yang panjang bagi kita kerana kita bermula dari separuh akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), tahun lalu.
“Jadi, kita mahu selesaikannya, kita sudah mencapai sasaran kita di tangga ketiga Liga Super dan kita gembira dengan pencapaian berkenaan,” katanya.
Stano mengajak peminat bola sepak dan penyokong Sabah FC untuk datang beramai-ramai ke Stadium Likas malam ini bagi menyaksikan perlawanan akhir musim ini. – Info X
More Stories
Jenazah Tun Ahmadshah selamat dikebumikan
Barang Kosmetik Seludup Dirampas
Wanita Dakwa Ditukar Agama Kepada Islam Tanpa Izin, Sindiket Libatkan Ahli Keluarga Dalam Politik?