Aktiviti tangkap ikan pakai ‘bom’, hasil laut bernilai RM6,615 dirampas

Keaktifan Pasukan Polis Marin (PPM) melakukan pemantauan berjaya mengesan sebuah bot pam yang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Pulau Banggi, hari ini.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyrill Douglas berkata, kegiatan menangkap ikan secara salah itu dikesan pasukan PPM Kudat yang melakukan rondaan berterusan di kawasan perairan berkenaan.

Katanya, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus mengejar bot yang dinaiki seorang lelaki untuk pemeriksaan.

“Suspek yang dipercayai menyedari kehadiran polis sempat melarikan diri ke kawasan cetek sebelum terus meninggalkan bot pam miliknya.

“Hasil pemeriksaan di dalam ruang perahu menemukan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengebom ikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Cyrill berkata, semua peralatan dan hasil laut yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,615 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, semua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Sehubungan itu, Cyrill berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Kawalan PPM Wilayah Empat Sabah di talian 0139391197. – Asia Times