AMANAH lebarkan sayap ke Labuan

LABUAN, 11 Julai (Bernama) — Parti Amanah Negara (Amanah) kini melebarkan sayapnya ke pulau bebas cukai Labuan dengan penubuhan sebuah jawatankuasa sementara Kawasan Labuan.

Pengerusi jawatankuasa sementara Amanah Labuan  Dr Ramli Tahir berkata kawasan itu kini mempunyai 250 anggota dengan penubuhan dua cawangan.

“Kami  menubuhkan kawasan Amanah Labuan pada 18 Jun, pada mulanya dengan 50 anggota seperti yang diperlukan oleh undang-undang parti, dan kami kini mempunyai dua cawangan iaitu Victoria Utara dan Victoria Selatan,” katanya pada sidang akhbar sebelum menerima borang kemasukan keanggotaan baharu di Hotel Dorsett Grand Labuan di sini hari ini.

Dr Ramli berkata Amanah akan bekerjasama rapat dengan parti komponen Pakatan Harapan yang lain dan anggota PKR, DAP serta Warisan di sini untuk mengetengahkan  isu rakyat kepada pemimpin Kerajaan Persekutuan.

“Kami percaya pegangan politik kami seiring dengan ideologi politik Amanah, oleh itu saya rasa kami  boleh menyumbang dan yang penting, kami ikhlas menyertai parti tanpa mengharapkan apa-apa jawatan atau habuan,” katanya.