ANTARA SELURUH IPTA, KENAPA UMS DIBERI PERUNTUKAN PEMBANGUNAN PALING RENDAH? -MADIUS

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mempersoalkan Belanjawan 2021 yang hanya memperuntukkan RM600,100 kepada Unversiti Malaysia Sabah (UMS) untuk tujuan pembangunan.

Katanya, peruntukan tersebut adalah yang terendah daripada semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA)  di Malaysia.

“Saya difahamkan bahawa UMS memerlukan hampir RM8 juta untuk menyediakan pelbagai kemudahan khususnya untuk memastikan prasarana pendidikan secara maya dapat dijalankan dengan lancar.

“Seperti yang kita maklum, pendidikan secara atas talian ini adalah satu norma baharu, dan ini menjadikannya sebagai satu kemudahan asas yang mesti ada pada era pandemik Covid-19,” katanya.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2021 di peringkat jawatan kuasa bagi maksud Pembangunan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), di sini, hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kewangan perlu mengambil kira keadaan dimana 70 peratus ataupun 9,000 daripada pelajar UMS berada dalam kategori B40, dan 5,865  atau 30 peratus berada dalam kategori B20.

“Dengan lain perkataan, jika sekiranya peruntukan yang diberikan untuk Penggerak Komuniti di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, diperuntukkan semula ke KPT ataupun peruntukan yang dipotong daripada JASA untuk pembangunan UMS khususnya menaiktaraf peralatan dan bahan mengajar, lebih 14,000 pelajar akan mendapat manfaat.

“Peruntukan tambahan tersebut juga sebahagian boleh disalurkan untuk membantu para pelajar B40 dan BL40 (miskin tegar) mendapat akses peralatan-peralatan peribadi yang diperlukan untuk sistem pembelajaran atas talian.

“Saya bersimpati dengan pelajar-pelajar, oleh sebab itu wajar sangatlah menteri KPT dapat memohon peruntukan tersebut daripada Kementerian Kewangan,” katanya.

Ketika ditanya media selepas perbahasan berhubung usaha memperjuangkan UMS selepas ini, anak jati Kampung Lokos Kiulu itu memaklumkan, beliau akan menunggu jawapan bertulis daripada kementerian terlebih dahulu untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu Madius turut meminta penjelasan tentang status pelaksanaan Kolej Komuniti di Tuaran.

“Saya ingin tanya kepada Menteri KPT, bilakah Kolej Komuniti Tuaran dapat dilaksanakan? Pelancarannya sudah dibuat dahulu dan bangunan pun sudah dikenalpasti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *