APM SANDAKAN TANGKAP ULAR SAWA BERAT 40 KG

Petugas APM Sandakan menangkap Ular Sawa di Taman Indah Jaya semalam

Oleh Kahar Ali

SANDAKAN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sandakan telah menangkap seekor Ular Sawa seberat 40 kilogram dalam parit di luar sebuah rumah di Taman Indah Jaya sini semalam.

Menurut Pegawai APM Sandakan Kapten Ahmad Roslan Mohd Kamel, penghuni rumah menghubungi talian MERS 999 pada jam 9.08 malam untuk meminta bantuan setelah terlihat seekor Ular Sawa dalam parit di luar rumahnya.

Sepasukan petugas Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) diketuai oleh Sarjan Mainah Omar bergerak ke lokasi selepas menerima maklumat dari MERS 999 dan ular tersebut berjaya ditangkap, kata Ahmad Roslan.

Ahmad Roslan berkata Ular Sawa yang panjang 4.5 meter itu kemudian telah dilepaskan di habitat asal sebelum pasukan petugas APM menamatkan operasi dan kembali ke PKOD pada jam 11.43 malam.