APMM gagalkan cubaan seludup barang kawalan

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan di 0.4 batu nautika, selatan Tanjung Batu, Felda Sahabat, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, bot ronda APMM Lahad Datu yang menerima maklumat risikan mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot berkenaan bertindak melarikan diri dan mengubah haluan ke arah daratan berhampiran lalu bertindak terjun ke laut.

Pengarah APMM Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati bot itu membawa beberapa barang kawalan seperti beras.

“Hasil pemeriksaan lanjut, menemukan dua tong gas warna hijau, 17 bungkus minyak masak dengan anggaran berat 17 kilogram, sembilan kampit beras dengan berat 25 kilogram.

“Turut ditemui satu tiub hablur kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua barang rampasan termasuk bot pam dan enjin dibawa ke Jeti Pos Maritim Felda Sahabat untuk siasatan lanjut.

“Semua barang rampasan itu dianggarkan bernilai RM8,500.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Beras dan Padi 1994 dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sementara itu, katanya Zon Maritim Lahad Datu akan mempertingkatkan rondaan dan pemeriksaan ke atas bot-bot terutama yang berada di perairan ini bagi memastikan kegiatan berkenaan dapat dibendung. – Info X