KUDAT: Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menyelamatkan nyawa seorang remaja perempuan yang mengalami sesak nafas di Pulau Banggi, malam tadi.
Anisa Aman Shah, 14, yang menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Karakit perlu segera dihantar ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut, berikutan keadaannya yang semakin kritikal.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, misi bantuan pemindahan perubatan atau Medical Evacuation (MEDEVAC) itu dilaksanakan sejurus pihaknya menerima panggilan daripada pegawai perubatan klinik berkenaan.
“Bot Cenderawasih 10 digerakkan segera untuk membawa pesakit dari Jeti Karakit ke Jeti Marina Kudat.
“Pesakit turut diiringi bapanya dan seorang kakitangan kesihatan sepanjang perjalanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, bot berkenaan tiba di Jeti Marina sekitar pukul 11 malam dan remaja terbabit kemudian dipindahkan ke ambulans untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Kudat.
Sementara itu beliau menegaskan komitmen berterusan APMM dalam membantu komuniti maritim yang berada di kawasan kepulauan yang sukar diakses dengan pengangkutan darat.
“Kami sentiasa bersedia memberikan bantuan terutama dalam situasi kecemasan membabitkan
nyawa. Ini adalah sebahagian daripada peranan kemanusiaan APMM.
“Orang ramai yang menyaksikan sebarang kejadian kecemasan atau insiden di laut disarankan segera menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088- 611858 atau terus ke talian kecemasan 999,” katanya. – Info X

More Stories
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad
Isu ‘Pusingan P’ di Jalan Kinarut Dibawa ke Peringkat Nasional