TAWAU: Kerajaan terus komited memperkasa kekuatan ketenteraan negara menerusi pembelian aset strategik secara berfasa bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal bersedia menghadapi sebarang bentuk ancaman.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap pembelian aset dilakukan berdasarkan keperluan dan kesesuaian perkhidmatan sama ada darat, laut atau udara, serta memerlukan proses penyesuaian spesifikasi dan pengendalian yang teliti.
“Antara perolehan besar yang telah dibuat iaitu pembelian 18 pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) FA-50 dari Korea Selatan serta tiga kapal Littoral Mission Ship (LMS),” katanya ketika ditemui media selepas pelancaran Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Mohamed Khaled berkata, beberapa aset penting lain juga sedang dalam proses pembinaan dan pelaksanaan termasuk pembelian sistem radar pantai serta penggantian Pangkalan Hadapan Tun Sharifah Rodziah di Semporna dengan pangkalan mudah alih yang dijangka direalisasikan seawal tahun depan
Mengulas mengenai kerjasama pertahanan, Mohamed Khaled berkata, Malaysia menjalinkan hubungan erat dengan negara-negara sahabat seperti Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan Jerman dalam memperkukuh diplomasi pertahanan negara.
“Antaranya, pembinaan fasiliti latihan jangka panjang di Lapang Sasar Kem Paradise, Kota Belud hasil kerjasama strategik bersama Amerika Syarikat, termasuk pemberian aset seperti dron dan sistem radar serta program latihan bersama.
“Ini bukan sekadar meningkatkan keupayaan pertahanan, malah menjadi medium pencegahan yang efektif demi kestabilan rantau ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendirian Malaysia yang berkecuali namun terbuka menerima mana-mana rakan strategik yang jujur dan ikhlas membantu serta menyokong usaha negara memperkukuh pertahanan.
Katanya lagi, kawasan Laut China Selatan kekal menjadi tumpuan utama dalam pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan dengan penempatan aset pertahanan yang lebih seimbang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ