KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyifatkan tindakan kerajaan negeri meluluskan permohonan biasiswa anak Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman sebagai kesilapan besar yang tidak patut berulang.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata pendedahan itu amat mengejutkan, malah majoriti rakyat Sabah turut marah dan mempertikaikan kenapa kerajaan negeri meluluskan permohonan biasiswa kepada anak Azis.
“Secara peribadi saya turut senada dengan rakyat Sabah dan merasakan bawah tindakan Azis membuat permohonan biasiswa bagi pihak anaknya adalah perbuatan yang salah. Ini kerana Azis sebenarnya berkemampuan membiayai kos pelajaran anaknya.
“Saya turut difahamkan, selain itu isteri Azis juga adalah seorang pegawai kerajaan di salah sebuah agensi kerajaan negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau mengulas ucapan Hajiji pada Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Sulaman di Tuaran, semalam yang membuat pengesahan bahawa kerajaan negeri GRS-PH Plus meluluskan biasiswa anak Azis walaupun pemimpin Warisan itu dilihat berterusan menyerang kerajaan negeri.
Hajiji berkata kerajaan pimpinannya bersikap adil terhadap semua pihak di negeri ini, termasuk pembangkang meskipun tidak sehaluan dalam politik.
Ketua Menteri turut mengakui bahawa Azis bersama isteri beliau berjumpa dengannya untuk memohon kelulusan biasiswa bagi pihak anaknya yang kemudiannya diluluskan oleh Hajiji.
Zulkarnain berkata, lebih ramai anak Sabah yang mempunyai keputusan peperiksaan akademik cemerlang, malah kedua ibu bapa mereka tidak mempunyai pekerjaan dan berada pada tahap miskin yang sepatutnya diberikan peluang untuk mendapatkan biasiswa.
“Persoalannya apakah merit atau asas sehingga anak biasiswa Azis diluluskan.
“Azis dan isterinya mempunyai kemampuan dari segi kewangan, dalam masa yang sama hampir setiap hari menyerang kerajaan negeri Sabah kononnya bertindak tidak adil kepada rakyat Sabah.
“Adakah Azis tidak mempunyai sifat malu hampir setiap hari menyerang Hajiji, dalam masa yang sama pergi bertemu Hajiji bagi memohon kelulusan biasiswa bagi pihak anaknya dan kemudiannya diluluskan.
“Ini sebenarnya jelas satu tindakan kurang cerdik dan hipokrit oleh Azis,” katanya. – Info X
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis