Bagus lagi saya jadi pembangkang yang berkesan daripada menjadi ‘kerbau dicucuk hidung’ – Ewon

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyatakan beliau lebih rela menjadi Wakil Rakyat Pembangkang yang berkesan dan berkualiti daripada menjadi penyokong Kerajaan yang umpama “kerbau dicucuk hidung”.

“Beberapa hari yang lepas, seorang Ahli Parlimen Sabah yang juga merupakan ADUN dan bekas menteri menyatakan tidak ada gunanya menjadi Wakil Rakyat di blok pembangkang kerana tidak dapat membawa pembangunan di kawasan. Saya tidak dapat bersetuju dengan kenyataan tersebut!

“Tadbir urus pembangunan adalah tanggungjawab Kerajaan dan semua jentera Kerajaan. Tanggungjawab Wakil Rakyat ialah memastikan pembangunan ini diurus dengan efisien dan dirasai oleh rakyat termasuk di kawasan diwakili Wakil Rakyat pembangkang.

“Tiada gunanya kita menjadi penyokong blok Kerajaan yang tidak berkesan dan tidak mampu mengangkat suara rakyat. Ada juga Ahli Parlimen yang menjadi menteri hampir dua puluh tahun tetapi daerah yang diwakili masih menjadi antara daerah termiskin di Malaysia.

“Tidak ada gunanya menjadi penyokong Kerajaan kalau tidak dapat berjuang secara berkesan menuntut hak-hak rakyat termasuk Perjanjian Malaysia. Agak ironi dan aneh apabila mengatakan tidak ada guna menjadi Wakil Rakyat Pembangkang sedangkan semasa diberi peluang menjadi menteri atau menjadi sebahagian daripada Kerajaan prestasi mereka pula dipersoalkan,” katanya.

Ewon yang juga merupakan Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) menyatakan demikian semasa membahaskan ucapan dasar Presiden UPKO sempena Persidangan Perwakilan Luar Biasa di Pusat Kebudayaan Sabah, hari ini.

Beliau turut menegaskan pendirian beliau untuk terus bersama-sama dengan parti UPKO walaupun dihubungi oleh rakan-rakan daripada parti-parti dalam Kerajaan yang menjemput beliau menyertai mereka.

“UPKO adalah rumah dan keluarga saya. Susah dan senang, saya harus bersama-sama dengan keluarga di rumah saya. Tidakkan hanya semasa senang sahaja kita menganggap UPKO ini rumah kita dan apabila berada dalam keadaan yang mencabar, kita meninggalkan pula keluarga ini.

“Kemenangan dan kejayaan kita tidak harus diukur daripada berapa banyak kita menang semata-mata, tetapi bagaimana dan berapa kali kita bangkit dan terus berjuang selepas mengalami kejatuhan. Kita akan menghargai perjuangan ini bermula dari keluarga dan rumah kita,” katanya.

Ewon turut menyatakan bahawa UPKO buat kali pertama berada di blok pembangkang selepas berada di blok kerajaan sejak ditubuhkan pada tahun 1994 tetapi tidak bererti tidak boleh berkhidmat dan berjuang untuk rakyat.

“Kita ambil ikhtibar dan motivasi dari sejarah UPKO asal yang ditubuhkan pada awal tahun 1960-an dan para pemimpinnya terus menjadi blok pembangkang yang berkesan dan berkualiti. Mendiang Datuk Peter Mojuntin konsisten dalam perjuangannya sehingga diangkat menjadi The Golden Son atau Anak Emas Kadazan. Tidak mustahil suatu hari nanti, akan lahir lagi Anak Emas atau Permata Sabah daripada keluarga UPKO hari ini.

“Pada saya, kualiti dan keberkesanan itu mudah diterjemahkan walaupun kita berada di blok pembangkang. Yang baik dan betul kita sokong, yang salah kita sanggah, yang wajar kita kena teruskan,” kata Ewon.

Persidangan UPKO ini diadakan secara hibrid iaitu perwakilan hadir secara fizikal di dewan dan sebahagiannya mengikuti secara maya. – Nabalu News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *