BAJET 2021: KERAJAAN MASIH BELUM ADA PERINCIAN PERUNTUKAN YANG DITAMBAH, DIKURANGKAN ATAU DIPERUNTUKKAN SEMULA

Pagi tadi saya menghantar surat kepada Datuk Speaker Dewan Rakyat meminta petua (ruling) apakah kedudukan Bajet 2021 yang telah diluluskan di Peringkat Dasar setelah Menteri Kewangan membuat pengumuman beberapa tambahan semasa penggulungan perbahasan di Peringkat Dasar.

Semasa menggulung  oleh YB Menteri Kewangan semasa bacaan kedua Bajet 2021 di sidang Majlis Mesyuarat pada hari Khamis, 26hb November 2020, beliau telah mengumumkan kepada Majlis Mesyuarat buat pertama kalinya bahawa Kerajaan mencadangkan untuk menukar dasar beberapa kepala perbelanjaan, serta menambah, mengurangkan dan/atau menguntukkan semula beberapa peruntukan-peruntukan di bawah Bajet 2021 yang dibentangkan pada 6 November 2021.

Cadangan-cadangan baru Kerajaan tersebut akan, atau mungkin akan, menukar jumlah anggaran, jumlah kepala dan/atau jumlah pecahan kepala bagi pelbagai peruntukan di bawah Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (D.R. 16/2020) dan/atau Anggaran-anggaran Perbelanjaan Tahunan atau Anggaran Pembangunan. Sebagai contoh:

a. Bantuan khas secara one-off kepada semua petugas barisan hadapan lain sebanyak RM300 ringgit.

b. Meningkatkan program e-Belia daripada RM50 ringgit kepada RM100, dan memanjangkan inisiatif kepada 1.1 juta mahasiswa di IPT dan IPTS termasuk yang berumur lebih daripada 20 tahun.

c. Menyalurkan dana tambahan berjumlah RM50 juta lagi di bawah Kumpulan Wang Covid-19 untuk negeri Sabah pada bulan Disember 2020.

d. Meluaskan lagi kategori penerima pemberian one-off kepada kategori Pesara dan Bekas Polis dengan implikasi penerima tambahan dianggarkan seramai 40 ribu orang, dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM40 juta.

e. Kenaikan Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) daripada RM200 kepada RM250 sebulan bagi 3,400 nelayan darat yang berdaftar.

f. Kerajaan maklum bahawa kadar elaun perumahan bagi negeri Sabah adalah yang tertinggi, dan penjawat awam yang berkhidmat di Sabah mendapat elaun lebih tinggi daripada penjawat yang berkhidmat di Sarawak atau Semenanjung. Kali terakhir kadar tersebut disemak adalah pada 30 April 2002. Kementerian Kewangan bersetuju untuk mengkaji semula dan menyelaras kadar tersebut.

Namun demikian, sehingga kini, Kerajaan masih belum membentangkan atau mengemukakan sebarang pindaan kepada Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (D.R. 16/2020) atau pindaan kepada usul-usul berkenaan Anggaran-anggaran Perbelanjaan Tahunan atau Anggaran Pembangunan untuk mengambil kira cadangan-cadangan baru tersebut, selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Oleh yang demikian, kerajaan masih lagi tidak menjelaskan apakah butir-butir terperinci jumlah peruntukan yang akan ditambah, dikurangkan dan/atau diuntukkan semula di bawah Bajet 2021.

Kegagalan Kerajaan untuk membentangkan dan mengemukakan kertas-kertas tersebut akan menjejaskan perbahasan/perbincangan Majlis Mesyuarat pada peringkat Jawatankuasa, yang ditetapkan untuk berlangsung dari 30hb November hingga 15hb Disember 2021. Tanpa butir-butir terperinci tersebut, kesemua pihak, khususnya ahli-ahli Parlimen tidak akan dapat memeriksa dan menyemak Kerajaan secara spesifik, mengemukakan pendapat dengan berkesan atau mengemukakan syor-syor alternatif melalui perbahasan berhubung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (D.R. 16/2020). Ini akan menidakkan (‘negate’) sebahagian daripada fungsi utama Dewan Rakyat untuk meluluskan dan mengawasi peruntukan belanjawan dan dana awam kepada badan Eksekutif.

Setelah diumumkan persetujuan Kementerian Kewangan untuk membuat penyelarasan kadar elaun perumahan bagi negeri Sabah adalah yang tertinggi, dan penjawat awam yang berkhidmat di Sabah mendapat elaun lebih tinggi daripada penjawat yang berkhidmat di Sarawak atau Semenanjung. Kali terakhir kadar tersebut disemak adalah pada 30 April 2002. Apakah penyelarasan ini mengakibatkan penambahan peruntukan dan adakah peruntukan ini akan dimuatkan dalam Bajet 2021 ataupun akan dibuat dalam bentuk Supplimentar bill nanti?

Sehingga pihak Kerajaan memberikan butir-butir terperinci jumlah peruntukan yang akan ditambah, dikurangkan dan/atau diuntukkan semula di bawah Bajet 2021, ahli-ahli Dewan Rakyat juga mungkin tidak dapat melaksanakan hak dan kewajipan mereka di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk membentangkan pindaan-pindaan semasa peringkat Jawatankuasa.

Saya juga telah menghantar usul untuk dibangkitkan semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 202 semasa Peringkat Jawatankuasa untuk mencadangkan bahawa Menteri Kewangan hendaklah memperuntukkan semula sebanyak RM85,549,200.00 daripada peruntukan untuk Hal Ehwal Khas (JASA)/Aktiviti dan jumlah keseluruhan peruntukan di bawah Kod Program Dasar Baru /Aktiviti No. 050100 dalam butiran 050000 yang kedua-duanya di dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021 kepada Maksud B.42 di bawah Kementerian Kesihatan dalam Jadual kepada Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 iaitu secara khususnya untuk Butiran 020000 Perubatan (Kod Program Psikiatri dan Kesihatan Mental / Aktiviti No. 022700) di dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021 dan seboleh-bolehnya 50% daripada peruntukan baru di bawah Butiran 020000 harus digunakan atas/untuk usaha pembentungan wabak Covid-19 dan petugas-petugas barisan hadapan di negeri Sabah yang menjadi epicenter wabak .

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *