Balik-balik ini PTI cuba masuk, terbaik PPM Lahad Datu berjaya halau diorang

Empat lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir pulang ke negara asal selepas cubaan masuk melalui perairan laut Tungku, di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu, Superintendent Gan Ping Sin berkata empat PATI itu terdiri tiga lelaki dan seorang wanita dikesan menaiki dua bot pam dalam keadaan mencurigakan.

“Sepasukan anggota yang membuat rondaan di kawasan perairan tanggungjawab telah memintas bot PATI itu di perairan Laut Tungku dan perairan Laut Merabung.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati seorang lelaki dewasa berada dalam satu bot pam manakala tiga orang iaitu dua lelaki dan seorang wanita menaiki bot yang satu lagi.

“Kesemuanya mendakwa berasal dari Paguan, Filipina dan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah semasa diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Gan, empat PATI itu telah diarahkan untuk berpatah balik dengan diiringi PPM sehingga keluar dari perairan negara.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki ditahan setelah gagal mengemukakan dokumen diri di kawasan muara Sungai Sabah Baru.

“Hasil pemeriksaan, ditemui satu gulung aluminium foil dan satu paket kecil lutsinar berisi hablur jernih disyaki syabu.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dirujuk ke Bahagian Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya. – Utusan Borneo