Banduan terakhir lari dari Pusat Kuarantin ILMAN berjaya ditahan, kes selesai

Tahanan terakhir yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN), akhirnya berjaya ditahan di Kilometer 3, Jalan Papar Spur, Papar, hari ini.

Suspek Mohd Rahman Basir, 24, yang meloloskan diri selama 36 jam itu berjaya ditahan pada jam 2.20 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek berjaya ditahan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.

Katanya, operasi menahan suspek dijalankan Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Penampang dengan dibantu pasukan IPD Papar.

“Kejayaan tangkapan terakhir itu berjaya menyelesaikan kes empat tahanan melarikan diri dari pusat kuarantin ILMAN pada jam 3.30 pagi semalam.

“Dikesempatan ini, IPD Penampang mengucapkan jutaan terima kasih kepada masyarakat yang membantu menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek yang diburu sejak semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, keempat-empat suspek yang berjaya ditahan semula akan diambil tindakan pendakwaan mengikut peruntukkan undang-undang.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati orang ramai yang mempunyai kontak rapat atau pernah bertemu dengan keempat-empat tahanan ini digesa supaya membuat ujian calitan Covid-19. – Asia Times