Banjir tidak halang orang ramai menderma darah

BEAUFORT: Banjir yang melanda Beaufort baru-baru ini tidak menghalang orang ramai untuk menderma darah bagi memenuhi keperluan Hospital Beaufort, di sini.

Menerusi kempen derma darah pada Sabtu lalu, sebanyak 125 beg darah berjaya dikumpul, membuktikan sokongan berterusan orang ramai dalam membantu pihak hospital.

Pengarah Hospital Beaufort, Dr K Sutharsan, berkata ramai penderma darah menunjukkan komitmen luar biasa terhadap kempen itu, termasuk hadir pada sebelah malam.

Katanya, komitmen yang ditunjukkan itu amat dihargai kerana sokongan penderma penting bagi menjamin bekalan darah mencukupi terutama ketkka sambutan Aidilfitri minggu depan.

“Pada awal Mac baru-baru ini, ketika banjir besar berlaku menyebabkan kutipan darah agak terjejas apabila program derma darah yang dirancang dibatalkan kerana air naik dengan cepat dan lokasi program tidak dapat digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Derma Darah Ramadan 2025 anjuran bersama Y&Y Group, Skuad Ar-Rayyan Sabah, Kedai Kim Hin dan Hospital Beaufort pada Sabtu.

Katanya, pihak hospital amat berbesar hati dengan sumbangan dan peranan yang dilaksanakan rakan penganjur kempen derma darah itu.

“Begitu juga sumbangan individu
dalam menjayakan program yang bukan saja menderma darah malah turut diadakan jamuan iftar penderma darah,” katanya.

Bagi menampung kekurangan darah sebelum ini, katanya hospital terdekat turut membantu mengekalkan stok darah di Hospital Beaufort.

Malah, katanya ada program derma darah kilat diadakan pada sebelah malam anjuran Persatuan Persahabatan Hung Men Beaufort yang menyasarkan penderma dalam kalangan kakitangan KKM Beaufort.

“Penghargaan juga diberikan kepada beberapa penganjur antaranya Gereja St Paul Beaufort, Persatuan Persahabatan Hung Men Beaufort dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Beaufort yang turut mengadakan program derma darah pada 16 Mac lalu.

Sementara itu, Dr Sutharsan mengalu-alukan penderma darah terus datang menderma di Tabjng Darah hospital termasuk sepanjang musim perayaan Aidilfitri minggu depan.

Katanya, kempen derma darah turut diadakan di Kampung Mentulud pada 12 April dan Kampung Suasa pada 13 April depan. –Info X