Bank Muamalat Sabah kunjungi Pengerusi Cement Industri

KOTA KINABALU : Pengerusi Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd., Datuk Japlin Akim telah menerima kunjungan hormat daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) cawangan negeri Sabah di sini, semalam.

Kunjungan hormat tersebut diketuai Pengurus Wilayah Malaysia Timur Zainal Pattate, Pengurus Deposit Wilayah Malaysia Timur Syafiq Albeh dan Pegawai Penyelesaian (Deposit) Pazzi Lyn Martin.

Menurut Zainal, kunjungan hormat itu merupakan usaha Bank Muamalat untuk mendekati syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) negeri Sabah di samping memperkenalkan kepada umum produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Sebagai sebuah institusi perbankan penuh Islamik, Bank Muamalat menawarkan produk dan perkhidmatan patuh Syariah kepada individu dan juga pelanggan korporatnya.

“Antara produk dan perkhidmatan islamik untuk individu yang ditawarkan adalah seperti deposit akaun simpanan dan akaun semasa, Ar Rahnu, kad kredit dan kad debit, pembiayaan peribadi dan rumah, pengurusan kekayaan, dan perbankan elektronik dan atas-talian serta lain-lain perkhidmatan.

“Bagi pelanggan korporat dan perniagaan pula, perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti perbankan korporat, perbankan pelaburan, pembiayaan perniagaan khusus untuk SME, perbendaharaan, perbankan komersial dan perdagangan kewangan dan lain-lain,” katanya dalam pertemuan tersebut.

Zainal berkata Bank Muamalat turut berkongsi usaha mereka dalam membantu golongan usahawan mikro asnaf dan B40 yang tidak layak (unbankable atau undeserved) dalam mendapatkan pembiayaan melalui program iTEKAD bagi meneruskan kesinambungan perniagaan mereka.

Menurutnya program ini dibangunkan melalui dua model iaitu iTEKAD Mawaddah dan iTEKAD Mahabbah yang memberi manfaat kepada 782 usahawan asnaf dan B40 dengan pengagihan (disbursement) sebanyak RM6.5juta.