Seorang lelaki berusia 22 tahun ditemui tergantung dipercayai membunuh diri dalam kejadian di Kampung Kiapad, Inanam, dekat sini, petang tadi.
Kejadian hanya disedari kira-kira jam 5 petang, selepas bapa mangsa yang tinggal bersebelahan selepas dikatakan datang rumah berkenaan untuk bertemu dengan anaknya.
Bapa mangsa yang terkejut dengan penemuan itu dikatakan terus bertindak menurunkan anaknya sebelum membuat panggilan kecemasan untuk menyelamatkan anaknya.
Bagaimanapun, mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Likas yang hadir di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik menerima maklumat kejadian, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah yang dapat dikesan berlaku di rumah mangsa.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada ahli keluarga mangsa bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara polis menunggu laporan bedah siasat mangsa. – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ