BATAL PSS : PEMUDA PBS USAH BANGGA

Oleh Wartawan BS

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak perlu ‘bangga’ dengan keputusan pembatalan pengeluaran Pas Sementara Sabah (PSS) kerana ia dibuat berdasarkan perbincangan dalam UPKO serta mengambil kira kehendak rakyat Sabah dan bukannya atas desakan mereka.

Ketua Pemuda UPKO Tuaran Charles Jauti berkata, mereka dilihat hanya menumpang dengan keadaan semasa selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, baru-baru ini, semata-mata untuk meningkatkan kembali populariti mereka yang telah lama pudar.

Katanya, kenyataan Ketua Pemuda PBS Tamparuli Boe Sendolun menunjukkan mereka tidak mengikuti keadaan sebenar kerana UPKO tidak pernah mengeluarkan kenyataan bersetuju dengan cadangan pengeluaran PSS kepada warga asing.

“Boe perlu sedar, UPKO sentiasa konsisten dengan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) dan sangat jelas beliau tidak memahaminya.

“Tahu atau tidak mungkin beliau perlu semak sebelum buat kenyataan membabi buta. UPKO merupakan antara parti yang memohon kepada kerajaan pusat dan negeri sehingga tertubuhnya Suruhanjaya Diraja untuk menjalankan kajian berhubung isu PTI,” katanya.

Charles berkata, oleh itu, tidak adil untuk Boe menuduh UPKO membisu terhadap isu itu walaupun berada dalam kerajaan.

“UPKO juga mengambil tindakan lebih komprehensif dengan menganjurkan sesi rundingan meja bulat bagi memahami fungsi serta cara pelaksanaannya sebelum keputusan dibuat sama ada dipersetujui atau tidak,” katanya.