BATALION 20 PGA BERJAYA LAGI MENGEKANG AKTIVITI MENYELUDUP ROKOK

Rokok seludup yang dirampas oleh Batalion 20 PGA Beluran di Jalan Lama Telupid- Sandakan tengahari tadi

Oleh Faizal Rahman

BELURAN :  Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran berjaya lagi mengekang aktiviti menyeludup rokok dan kejayaan terbaharu membabitkan penahanan seorang lelaki warga Indonesia serta rampasan sebanyak 9,400 bungkus rokok di Jalan Lama Telupid- Sandakan tengahari tadi. 
Pegawai Pemerintah Batalion 20 ACP Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota Kompeni A Batalion 20 diketuai oleh Inspektor Oliver @ Shairul Nordin telah menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Lama Telupid- Sandakan pada 12.00 tengahari.  
Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan telah menemukan rokok pelbagai jenama yang dipercayai rokok seludup sebanyak 9,400 bungkus di kompartmen belakang kenderaan berkenaan, kata Mohd Nasaruddin. 
Pemandu kenderaan seorang lelaki warga Indonesia berumur 39 tahun ditangkap dan rampasan rokok bersama kenderaan pacuan empat roda dengan anggaran nilai keseluruhan RM 215,412 dibawa ke IbuPejabat Polis Daerah Beluran untuk tindakan lanjut dibawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967, tambah Mohd Nasaruddin.