Kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Selangor, Sarawak, Sabah dan Pahang.
Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula 30 Jun hingga 13 Julai ini susulan berlaku peningkatan jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.
Di Selangor PKPD terbaru dilaksanakan di CLQ Gamuda Gardens, Kundang Jaya, Rawang selepas 57 kes positif dilaporkan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
PKPD juga dilaksanakan di Taman Murni, Sepang, dengan 36 individu dikesan positif setakat ini.
Sementara itu Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, juga dikenakan PKPD selepas 206 penduduk dikesan positif dan penularan masih berlaku.
PKPD di Selangor juga membabitkan CLQ Johan Setia, Kampung Johan Setia, Klang apabila 156 jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh 12 hari dan kes jangkitan tinggi di lokaliti tersebut.
Sementara itu di Sarawak, PKPD dikenakan di Kampung Tematu, Jalan Batu Kitang, Kuching, apabila 17 daripada 35 individu yang telah disaring didapati positif.
Kuarters Pekerja Ladang Mukah 1, Sarawak Plantation Agriculture Development Sdn Bhd (SPAD), di Mukah, turut dikenakan PKPD apabila 19 individu dikesan positif.
Di Pahang PKPD dilaksanakan di Flat Taman Benus Jaya, Bentong, apabila tujuh kes positif dikesan dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
Di Sabah, PKPD, melibatkan Kampung Linukaan, Kota Marudu, selepas 11 kes positif direkodkan hasil saringan 47 individu.
PKPD di negeri itu turut dilaksanakan di tiga lokaliti di Kudat, membabitkan Kampung Timbagan, Matunggong Kampung Perpaduan Gumpa dan Kampung Perpaduan 2.
“Sebanyak 29 kes telah dilaporkan selepas KKM melakukan 55 ujian saringan di ketiga-tiga lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP mengekang penularan wabak Covid-19.
PKPD juga dilaksanakan di Rumah Pekerja Ladang Sungai Balung, Tawau dengan sembilan individu dikesan positif setakat ini.
Ismail berkata, PKPD turut dikenakan di Kuarters Kilang Bata Kampung Durok, Kampung Limbawan Sayur, Keningau dengan 31 dikesan positif.
Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, juga Sabah turut dikenakan PKPD selepas sembilan individu dilapor positif.
Sementara itu, PKPD di dua lokaliti di Bukit Dinding, Mukah, Sarawak, dan Asrama Pekerja Warga Asing, Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak, Johor dilanjutkan sehingga 13 Julai.
Ismail turut memaklumkan PKPD di Grace Villa Condo, Sembulan, Kota Kinabalu, Kampung Pengaraban,dan Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat, Sabah akan tamat bermula jam 11.59 malam ini.
Dalam perkembangan lain, pihak polis semalam menahan 866 lagi individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 779 individu dikompaun manakala 87 lagi direman.
Katanya, pihak berkuasa juga menangkap 17 pendatang asing tanpa izin dan merampas tujuh kenderaan darat semalam.
Dalam tempoh sama juga pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan 2,047 pemeriksaan ke atas kilang dan 11,899 premis perniagaan dengan lapan diarah tutup.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ