Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan warga kampus khususnya dalam kalangan para pelajar termasuk ketika universiti ini sedang menghadapi masalah kekurangan bekalan air di kampus induk Kota Kinabalu.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Haji Mansor berkata, bekalan air terawat Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) di kampus ini adalah daripada Loji Rawatan Air (LRA) Telibong, Tuaran.
“Turut berkongsi bekalan air dari loji rawatan ini ialah seluruh kawasan Tuaran, Tamparuli, Sepanggar, Karambunai, Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Likas, Indah Permai, Kingfisher, 1Borneo, Alamesra, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Putrajaya Kota Kinabalu serta kawasan perindustian Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP.
“Dalam beberapa siri pertemuan dengan pihak JANS, pihak UMS dimaklumkan bahawa jumlah keperluan bekalan air bagi menampung keseluruhan kawasan yang dinyatakan tadi ialah sebanyak 190 Juta Liter Sehari (MLD).
“Walau bagaimanapun LRA Telibong hanya mampu menghasilkan bekalan air terawat sekitar 164 MLD.

“Pada masa yang sama, mereka juga berhadapan dengan kes kecurian atau kehilangan bekalan air iaitu sehingga 8 MLD. Selain itu, kerja-kerja pemindahan dan naik taraf saluran paip di sepanjang jalan Pan Borneo juga sedang dijalankan.
“Secara ringkasnya, bekalan air terawat daripada LRA Telibong sememangnya adalah tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun Kasim memberitahu, maklumat yang diterima daripada JANS memaklumkan bahawa isu gangguan bekalan air terawat itu dijangka selesai sepenuhnya pada tahun 2024.
Ujar beliau, buat sementara waktu, pihak JANS terpaksa membuat catuan bekalan air yang menyebabkan seluruh kawasan yang menerima bekalan air terawat daripada LRA Telibong terkesan.
“Kampus induk UMS yang terletak di Sepanggar Kota Kinabalu juga secara langsung turut terkesan. Untuk makluman, kampus induk UMS memerlukan sekitar 3 MLD hingga 5 MLD sehari untuk menampung keperluan air terawat di dalam kampus.
“Memahami akan situasi ini serta dengan mengambil kira keperluan mendesak warga kampus khususnya dalam kalangan para pelajar, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bagi mengurangkan impak akibat catuan daripada pihak JANS.

“Pihak UMS sentiasa berhubung dengan pihak JANS dalam menyampaikan tahap gangguan dalam kampus induk UMS dan juga pemantauan harian aras bekalan air terawat di tangki R13 JANS.
“Kita juga telah menyediakan tangki-tangki tambahan di luar kolej-kolej kediaman yang lengkap dengan sistem pam dan perpaipan.
“Pada masa yang sama, UMS ketika ini juga menggunakan perkhidmatan lori tangki bagi membekalkan air terawat JANS,” tambah Kasim.
Menurutnya, bekalan itu diperoleh daripada LRA Moyog Penampang, dan sehingga 20 kali penghantaran lori tangki air sehari atau anggaran kapasiti sehingga 300,000 liter sehari dibekalkan untuk kegunaan kolej kediaman pelajar dan juga bangunan sekitar dalam kampus UMS.
Jelas beliau, pada masa yang sama pihak UMS juga sentiasa mencari sumber air alternatif di dalam kampus.
“Pada ketika ini, pihak UMS telah membuat sebuah perpaipan daripada punca air bukit dalam kampus yang mampu membekalkan air sebanyak 80,000 liter sehari.

“Pihak UMS juga telah mengenal pasti punca air bukit lain dan akan membuat perpaipan baru bagi penyaluran air bukit berkenaan untuk kegunaan pelajar.
“Sebagai pelan jangka masa panjang, pihak UMS ke arah mendapatkan bekalan air menggunakan kaedah “Air Tube Well” yang lengkap dengan sistem rawatannya sekali.
“Tindakan-tindakan ini bukannya penyelesaian yang menyeluruh, namun pihak UMS komited berusaha melakukan tindakan yang perlu demi mengurangkan impak catuan air demi keselesaan pelajar dan warga kampus induk UMS,” katanya.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad