SANDAKAN: Fenomena belalai air yang dilaporkan berlaku di perairan Batu Sapi, awal pagi hari ini mengejutkan penduduk di kawasan berkenaan.
Malah, gambar dan rakaman mengenai kejadian itu turut dikongsikan dalam media sosial dengan penduduk mendakwa kejadian berlangsung selama kira-kira 15 minit bermula jam 1 pagi.
Seorang penduduk yang cuma mahu dikenali sebagai Rahim, berkata mereka terdengar bunyi angin kuat dan melihat belalai air sebaik menjenguk keluar.
“Ramai penduduk keluar dari rumah untuk melihat kejadian itu. Ini pertama kali berlaku di Batu Sapi.
“Mujur tiada apa-apa kejadian buruk berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Meteorologi Sabah, Amirzudi Hashim mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi daripada orang awam berkaitan kejadian itu.
Berdasarkan gambar yang tular, beliau menjelaskan, ia adalah cuaca biasa yang dipanggil awan corong.
Katanya, awan yang berbentuk corong itu adalah titisan air dalam pusaran udara dan apabila udara berpusar menaik, udara hangat menyejuk dan kondensasi wap air berlaku lalu membentuk corong awan.
“Corong awan biasanya terbentuk daripada awam kumulonimbus atau kumulus dan tidak mencecah tanah.
“Biasanya ia berlaku pada masa singkat dan tidak berbahaya melainkan jika ia mencecah tanah,” katanya.
Amirzudi bagaimanapun menasihatkan orang ramai terutama nelayan agar menghindari belalai air kerana boleh menyebabkan kejadian angin kencang./beritasabah.com

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ