BELANJAWAN 2021 “LUAR BIASA”: MADIUS

BANGUNAN PARLIMEN: Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok (Jumaat) petang adalah satu dasar Kerajaan yang bersejarah dan luar biasa, kerana ia dibentangkan oleh Kerajaan yang goyah malah was-was ia tidak akan mendapat sokongan majoriti mudah.

Luar biasa kerana selain pergolakan politik di peringkat Kerajaan Persekutuan, negara juga sedang berhadapan dengan pandemik virus corona COVID-19. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac lalu kini sudah menjadi PKP Bersyarat.

Latar belakang yang mendesak sedemikian serta keadaan ekonomi dunia merundum juga kerana pandemik itu mewajibkan kita memberikan keutamaan kepada sekurang-kurangnya tiga perkara iaitu, langkah-langkah menangani COVID-19, pemulihan ekonomi dan memastikan aspek keselamatan negara terutama di Sabah terjamin.

Semasa berkhidmat sebagai ahli Jemaah Menteri dalam Kerajaan Sabah yang lalu, saya terlibat secara langsung dalam semua perbincangan sekali gus membuat keputusan sehingga kami berjaya membantu “to flatten the curve” dan memastikan ekonomi Sabah kekal berdaya saing.

Dalam konteks ini, UPKO mencadangkan agar Kerajaan memberikan perhatian khusus dan memberikan peruntukkan secukupnya kepada penyediaan infrastruktur sektor kesihatan awam di Sabah, yang selama ini telah diabaikan dan tidak diberi keutamaan.

UPKO bersedia dan akan memberi sokongan terhadap Bajet itu terutama sekali jika sekiranya peruntukan tambahan dan mencukupi diberikan untuk mempertingkatkan prasarana kesihatan serta tambahan kakitangan perubatan di Sabah.

Umum mengetahui, Sabah kekurangan tenaga pekerja kesihatan terutama doktor, doktor pakar, pakar Mikrobiologi, Pegawai Sains kaji kuman dan Juruteknologi Makmal Perubatan.

Selain itu juga di Sabah, Pusat pengujian PCR covid adalah sangat terhad kerana hanya ada di empat tempat sahaja iaitu Makmal kesihatan awam Kota Kinabalu; Hospital Queen Elizabeth 1; Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Hospital Tawau. Tempat Sementara Klinik Kesihatan Tawau hanya mempunyai jumlah kapasiti sebanyak dua ribu ujian PCR sehari.

UPKO minta supaya peruntukan tambahan diberikan untuk menaiktaraf makmal yang sedia ada dan mewujudkan makmal-makmal baru untuk menampung sampel mengikut daerah di Sabah.

UPKO juga meminta supaya diwujudkan makmal saringan di setiap pintu masuk utama negeri Sabah seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Lapangan Terbang Tawau dan Lapangan Terbang Sandakan. Langkah ini penting agar mereka yang masuk ke Sabah terutama pelancong dapat diuji dengan PCR dan mendapatkan keputusan yang cepat dan tepat.

Kesemua makmal-makmal ini hendaklah diberi peralatan dan kemudahan kelengkapan aset yang mencukupi seperti reagents supaya tunggakan sampel dapat diatasi.

Hospital-hospital di Sabah juga tidak mempunyai kelengkapan peralatan perubatan yang mencukupi khususnya untuk menangani pandemik ini, Kerajaan Sabah malah telah menempah sendiri peralatan perlindungan peribadi (PPE) serta keperluan untuk melakukan ‘swab test’ dan sebagainya.

Pelaksanaan vaksinasi kepada semua rakyat harus diteruskan tanpa membebankan mereka dengan kos and hal-hal lain. Selain daripada itu, Kerajaan wajar mempertingkatkan usaha menyediakan sistem sokongan seperti pusat-pusat kaunseling kepada mereka yang terkesan secara langsung oleh pandemik ini.

Selaras dengan kesan dahsyat pandemik, UPKO merasakan adalah perlu agar Belanjawan 2021 menguatkuasakan serta merta moratorium terhadap semua jenis pinjaman ataupun pinjaman pengguna dengan insititusi-institusi kewangan. Moratorium ini wajar dikuatkuasakan sehingga negara betul-betul tidak terjejas lagi oleh pandemik Covid-19.

Walaupun pelbagai pakej sudah diumumkan termasuk dari segi bantuan kewangan, bakul makanan dan insentif-insentif yang boleh membantu merangsang ekonomi serta meringankan bebanan mereka yang berada dalam B40, UPKO berpendapat tabungan rakyat seperti yang terkumpul dalam KWSP harus ditadbir urus dengan sebaik mungkin.

Kita akur, bebanan kerajaan sangat berat namun dalam masa yang sama, apapun juga strategi yang dirumus mesti mengambil kira kebajikan masa hadapan rakyat.

Ada beberapa pelan yang sudah pun diumumkan, seperti keizinan mengeluarkan sebanyak RM500 setiap bulan. Pada prinsipnya, UPKO bersetuju supaya penabung dibenarkan mengeluarkan secara ‘one-off’ sebahagian daripada KWSP mereka namun jumlah dan prosedur itu wajar diperhalusi dengan lebih lanjut.

Pandemik ini juga menyerlahkan betapa infrastruktur dan ekosistem Pendidikan secara menyeluruh di Sabah adalah sangat menyedihkan. Pembelajaran secara ‘online’ memang opsyen terbaik dalam keadaan sekarang namun ‘internet coverage’ harus dinaiktaraf secara mendadak.

Era 5G seharusnya sudah menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan kita dan perkara ini semakin mendesak kerana dalam mengharungi norma baru dan untuk mematuhi PKPB ini sahaja pun sudah mewajibkan kita untuk bekerja dari rumah (work from home).

Ini bermaksud Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) mesti diperhebatkan. Bangunan sekolah juga mesti mendapat peruntukkan mendesak kerana menurut data terdahulu, terdapat lebih 1,300 bangunan yang daif termasuk lebih 400 sekolah yang tidak selamat digunakan Sabah seperti yang telah disahkan oleh Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Dalam usaha merangsang ekonomi, UPKO juga mencadangkan semua agar Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara, tanpa mengira sama ada mereka Wakil Rakyat Kerajaan atau sebaliknya, diberikan peruntukkan seperti “sentuhan kasih” supaya mereka boleh membantu secara langsung rakyat di akar umbi.

Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) mesti menjadi antara keutamaan negara pada tahun-tahun mendatang. Untuk memastikan wujud ‘good governance’ di dalam hal ini, kerjasama atau ‘engagement’ secara komprehensif diantara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri mesti dipermudahkan supaya kita boleh mengatasi cabaran-cabaran daripada pandemik ini.

Semasa menjadi Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi, saya memberikan penekanan penting kepada aspek penyelidikan kepada penyelesaian masalah harian. UPKO menyeru supaya ‘research dan development’ diperhebatkan terutama sekali di institusi pengajian tinggi serta pusat penyelidikan persendirian yang sepatutnya menerokai penyakit berjangkit dan wabak seperti yang sedang kita lalui sekarang ini.

Kes-kes yang meningkat secara mendadak di Sabah sejak kebelakangan ini banyak melibatkan individu-individu yang bukan warganegara atau pendatang tanpa izin. ESSCOM mesti diperkukuhkan dengan memberi peruntukan operasi yang mencukupi termasuklah peruntukan yang mencukupi untuk memastikan semua aset yang ada dapat digunakan sepenuhnya.

Kita ada mendengar cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ESSCOM seperti tidak mempunyai peruntukkan yang mencukupi untuk membeli minyak untuk kegunaan bot-bot peronda bagi kegunaan beroperasi mereka mengawal sempadan disepanjang pantai timur Sabah.

Sejak sekian lama, UPKO telah menggesa supaya pengkalan tentera darat Kem Lok Kawi dipindahkan ke Lahad Datu secepat mungkin.

Kelengkapan lain juga mesti dipertingkatkan termasuk memastikan kita mempunyai peralatan atau aset terkini atau yang ‘up-to-date’ dan berdaya saing.

Bagi memastikan penularan wabak Covid-19 di Sabah tidak meningkat dan terkawal, UPKO juga ingin mengulangi pendirian kami bahawa bagi Pilihanraya kecil (PRK) Batu Sapi, kami mengesa agar parti-parti politik dan individu untuk tidak bertanding demi membendung wabak COVID-19 dan memberi laluan bagi calon dari parti Warisan Sabah mempertahankan kerusi tersebut.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *