BEM SI adakan tunjuk perasaan esok

Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo dan Wakil Ketua Dewan Perwakilan Rakyat, Sufmi Dasco Ahmad bertemu mahasiswa di depan Kompleks DPR Senayan, Jakarta, pada 11 April lalu. - KOMPAS.com

JAKARTA, 20 April – Badan Eksekutif Mahasiswa Indonesia (BEM SI) mengesahkan akan kembali mengadakan demonstrasi bermula esok, lapor laman berita Kompas.

Menurut Koordinator Wilayah BEM SI, Muhammad Yusuf, terdapat empat tuntutan yang akan disuarakan dalam protes tersebut.

Satu daripada tuntutan tersebut adalah mahasiswa menolak lanjutan pentadbiran Presiden Joko Widodo (Jokowi) selama tiga penggal.

Selain itu, BEM SI juga menggesa Kementerian Perdagangan Indonesia supaya menyelesaikan masalah kekurangan minyak masak.

“BEM SI menuntut Menteri Perdagangan, Muhammad Lutfi untuk segera menyelesaikan masalah kekurangan minyak masak dalam negara kerana ada permainan kartel dan mafia komoditi tersebut,” kata Yusuf.

Tambahnya, tuntutan ketiga dan keempat adalah menolak kenaikan harga bahan api dan kenaikan kadar cukai tambah nilai (VAT).

Yusuf berkata, lokasi untuk mengadakan demonstrasi itu masih dalam proses perbincangan.

Sebelum ini, ribuan pelajar telah mengadakan bantahan di hadapan Kompleks Parlimen, Senayan, Jakarta Pusat pada 11 April lepas.