Berbelanja bilion ringgit, Madius dedah dasar kerajaan anti perpaduan di Dewan Rakyat

Parlimen Sidang Dewan Rakyat hari ini dikejutkan dengan pendedahan dasar-dasar kerajaan yang disifatkan anti perpaduan oleh Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran).

Madius berkata, sudah berbilion ringgit dibelanjakan kerajaan untuk menyatupadukan masyarakat namun ia tidak berkesudahan.

“Kerana apa? Kerana kerajaan juga yang membuat dasar-dasar yang anti perpaduan dan anti integrasi nasional.

“Sebagai contoh, pada tahun 1986 kerajaan telah mengeluarkan satu pekeliling yang ditandatangani Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu bertajuk “Penggunaan Istilah/perkataan yang digunakan Dalam Penerbitan Agama Kristian Berbahasa Malaysia”

“Pekeliling tidak membenarkan ataupun mengharamkan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu: Allah, Kabah, Baitullah dan Solat,” jelasnya.

Tetapi menurut Madius, ia bercanggah dengan dasar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang diperkenalkan pada tahun 1967.

“Yang mana dasar bagi tujuan memupuk perpaduan itu telah pun diterima baik oleh rakyat berbilang kaum di Malaysia. Dan kita tahu, subjek Bahasa Melayu juga diwajibkan lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sekiranya ingin memohon menjadi kakitangan awam.

“Cumanya pekeliling 1986 itu adalah sangat bertentangan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan 1967,” tegasnya.

Tambah Madius, satu lagi contoh terkini ialah dalam penyediaan jadual peperiksaan SPM tahun 2021 pada bulan Mac tahun 2022.

“Kementerian Pendidikan telah membuat keputusan bahawa peperiksaan juga diadakan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) langsung tidak mempedulikan bahawa guru-guru dan pelajar-pelajar yang beragama Islam harus menunaikan solat Jumaat pada hari Jumaat; begitu juga dengan guru-guru dan pelajar-pelajar yang beragama Kristian Gereja Seventh Day Adventist (SDA) perlu menunaikan ibadat sepanjang hari Sabtu.

“Malah pelajar-pelajar yang beragama Kristian Gereja Roman Katolik, Basel, Anglikan, Sidang Injil Borneo, Methodist dan beberapa lagi dominasi Kristian yang lain perlu menunaikan ibadat Sembahyang pada hari Ahad,” katanya.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyifatkan ketidakpedulian KPM sangat bertentangan dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

Katanya, perlu diperingatkan bahawa falsafah pendidikan kebangsaan tersebut menyatakan bahawa “pendidikan itu melahirkan insan yang seimbang dari segi Jasmani, emosi, ROHANI, intelektual dan sosial”.

“Dan yang lebih parah lagi ialah, jadual peperiksaan SPM itu betul-betul bertentangan dengan “5 Prinsip Rukun Negara” iaitu pada Prinsip pertama Kepercayaan Kepada Tuhan.

“Pertanyaan saya kepada YB Menteri Perpaduan Negara ialah adakah YB ataupun kementerian YB telah memberi nasihat kepada YB Menteri Pendidikan? Ataupun membawa perkara ini kepada Mesyuarat Jemaah Kabinet? atau adakah pihak Kementerian Pendidikan merujuk kepada YB sebelum Jadual itu dikeluarkan?.”

Madius berkata demikian dalam ucapan perbahasan Bajet 2022 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Perpaduan Negara, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *