Beri penjelasan dana RM100 juta untuk Sukan SEA 2027 –Suhaimi Nasir

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diminta memberi penjelasan mengenai peruntukan RM100 juta yang diumum sudah dipersetujui kerajaan negeri bagi penganjuran bersama Sukan SEA 2027.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata perkara itu penting bagi merungkai kekeliruan yang timbul selepas Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun mendedahkan tidak tahu-menahu mengenai persetujuan itu.

Katanya, penjelasan kerajaan negeri penting bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap keputusan yang membabitkan perbelanjaan kewangan negeri.

Jelasnya, kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sebelum ini mengatakan Sabah akan memperuntukkan RM100 juta menimbulkan kegelisahan rakyat negeri ini dan bertambah runsing apabila Masidi menyatakan tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

“Situasi ini bukan saja memalukan pentadbiran kerajaan negeri tetapi juga menimbulkan kebimbangan yang serius mengenai bagaimana keputusan penting yang melibatkan perbelanjaan dana awam boleh dibuat tanpa penyelarasan dan komunikasi yang betul.

“Rakyat berhak mengetahui bagaimana dana negeri digunakan, lebih-lebih lagi dalam jumlah yang besar seperti ini.

“Soalannya sekarang, adakah ini menunjukkan kelemahan dalam sistem komunikasi atau mencerminkan ketidakstabilan dalam pentadbiran kerajaan negeri Sabah?,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau menegaskan bahawa dana sebesar RM100 juta itu seharusnya digunakan untuk memperbaiki infrastruktur dan meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah yang masih banyak memerlukan perhatian.

Sehubungan itu, beliau berharap berharap agar isu berkenaan dapat diselesaikan dengan segera dan langkah segera diambil untuk memperbaiki sistem komunikasi serta proses pengambilan keputusan dalam pentadbiran kerajaan negeri demi kepentingan rakyat.

Terdahulu, Masidi dalam perkongsiannya di X, mengesahkan kerajaan negeri tidak pernah membuat komitmen kewangan berhubung penganjuran sukan serantau itu.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri belum bersedia menjadi penganjur bersama sukan berkenaan atas faktor kekurangan dari segi kemudahan sukan. – Info X